SURAT | Pada penghujung tahun lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Dzulkefly Ahmad, mengumumkan bahawa kerajaan berhasrat untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape.
Dia juga menyatakan bahawa persoalan yang didepani bukan lagi sama ada vape akan diharamkan atau tidak, tetapi bila ia akan dilarang.
Beberapa bulan kemudian, tiada sebarang kemas kini rasmi berkenaan isu tersebut. Tiada garis masa yang jelas ditetapkan. Tiada komunikasi yang ditujukan kepada kira-kira 1.4 juta pengguna dewasa yang bakal terkesan.
Dasar itu kekal tergantung sehingga mewujudkan ketidakpastian kepada pengguna dan industri.
Ketidakpastian itu sendiri merupakan satu kegagalan dasar. Malaysia sudah mempunyai kerangka kawal selia untuk vape. Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 mewajibkan produk didaftarkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain mengehadkan kepekatan nikotin.
Ia juga mengharamkan jualan dalam talian dan melalui mesin layan diri. Tidak ketinggalan akta berkenaan mewajibkan amaran kesihatan bergrafik disertakan pada produk, serta melarang ia dijual berhampiran institusi pendidikan.
Tindakan yang sepatutnya ialah mengukuhkan kerangka tersebut, bukan meninggalkannya demi larangan menyeluruh.
Bukti klinikal menyokong pendekatan kawal selia. Kajian sistematik di Cochrane yang dikemas kini pada 2025 melibatkan data daripada lebih 100 kajian menemukan bukti berkeyakinan tinggi bahawa rokok elektronik bernikotin meningkatkan kadar berhenti merokok berbanding terapi penggantian nikotin seperti tampalan dan gusi nikotin.
Kebimbangan yang sah
Satu ujian terkawal rawak yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada 2024 pula mendapati penambahan rokok elektronik kepada kaunseling pemberhentian paiawan menghasilkan kadar berhenti yang jauh lebih tinggi.
Satu editorial yang mengiringi jurnal yang sama menyimpulkan bahawa rokok elektronik kini sepatutnya menjadi sebahagian daripada peralatan klinikal pemberhentian merokok.
Ia bukan dapatan sains pinggiran yang dipertikaikan. Ia adalah keadaan semasa bukti sistematik.
Hujah paling kukuh menentang larangan, bagaimanapun, datang daripada pengalaman Malaysia sendiri. Rokok haram telah menguasai pasaran tembakau Malaysia selama bertahun-tahun sehingga mencapai kemuncaknya (63.8 peratus) pada 2020.
Kajian terkini NielsenIQ masih meletakkan kadar tersebut pada 54.4 peratus pada tahun lalu dengan bahagiannya melebihi 77 peratus di Sabah dan Sarawak.
Jika Malaysia tidak dapat mengawal rokok haram selepas berdekad-dekad penguatkuasaan, sukar untuk melihat bagaimana larangan vape akan menghasilkan keputusan yang berbeza.
Pasaran vape formal bernilai kira-kira RM3.48 bilion pada 2023. Larangan tidak akan menghapuskan permintaan tersebut. Ia hanya akan memindahkan bekalan kepada saluran tidak terkawal yang tertumpu kepada produk tidak mempunyai sebarang jaminan keselamatan.
Kebimbangan kerajaan mengenai cecair vape yang dicampur dadah, termasuk produk yang mengandungi kanabinoid sintetik dan bahan terlarang lain, adalah sah. Namun produk sedemikian lebih cenderung ditemui di pasaran gelap.
Justeru ini merupakan hujah untuk pengukuhan kawal selia, bukan pengharaman.
Akta 852 sudah memperuntukkan ujian makmal dan pendaftaran produk. Tindak balas dasar yang sewajarnya ialah menguatkuasakan keperluan tersebut dengan tegas dan meningkatkan kapasiti ujian.
Sekatan yang berlebihan
Larangan akan menghapuskan infrastruktur kawal selia itu sepenuhnya. Setiap produk yang dijual selepas larangan akan - secara definisi - tidak terkawal dan tidak diuji.
Pengalaman antarabangsa mengesahkan corak itu. Singapura mengharamkan vape sejak 2018. Antara Jan 2024 hingga Mac 2025, pihak berkuasa negara itu menangkap 18,000 individu yang memiliki vape dan merampas produk bernilai lebih S$41 juta.
Ia adalah data bagi sebuah negara yang hanya mempunyai enam juta penduduk.
Thailand juga mengharamkan vape dan menghadapi perdagangan haram yang berterusan.
Sebaliknya, United Kingdom mengekalkan pasaran terkawal. Penggunaan vape kini dijangka mengatasi merokok dalam kalangan orang dewasa British, dan lebih separuh pengguna vape semasa melaporkan telah berhenti merokok kerana vape.
Namun begitu, walaupun di UK larangan terhadap vape pakai buang telah menghasilkan lonjakan rampasan produk haram baru-baru ini, wajar diperingatkan bahawa sekatan yang berlebihan membawa kesan yang tersendiri.
Malaysia tidak perlu memilih antara melindungi kesihatan awam dan membenarkan akses pengguna kepada alternatif yang kurang berbahaya.
Kerangka kawal selia yang dikuatkuasakan dengan baik akan mencapai kedua-duanya.
Akta 852 menyediakan asas itu. Apa yang diperlukan sekarang ialah penguatkuasaan yang tekal, piawaian yang dikemas kini, dan komunikasi awam yang jelas mengenai risiko relatif, bukan satu pengharaman yang rekod prestasi Malaysia sendiri menunjukkan tidak mampu dikuatkuasakan serta bukti yang menunjukkan akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
