Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Dengan penuh rasa dukacita dan kemarahan, Amanah mengecam sekeras-kerasnya insiden tragis yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal akibat dilanggar oleh pemandu yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

Ini bukan hanya satu lagi kemalangan jalan raya, tetapi kecuaian yang disengajakan hasil daripada tindakan tidak bertanggungjawab seseorang yang memilih untuk memandu dalam keadaan hilang pertimbangan.

Dalam Islam, nyawa manusia adalah sesuatu yang amat suci dan tidak boleh dipandang ringan. Allah SWT berfirman: “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia,bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.” (al-Maidah: 32)

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa mengambil nyawa – walaupun tanpa niat – tetap merupakan suatu jenayah besar apabila ia berpunca daripada tindakan yang membawa kepada kemusnahan dan kerosakan.

Lebih menyedihkan, punca tragedi tersebut adalah kesan perbuatan meminum arak yang sememangnya diharamkan secara tegas dalam Islam.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan undian nasib adalah najis daripada amalan syaitan, maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)

Arak bukan sahaja merosakkan akal, tetapi membuka pintu kepada pelbagai jenayah, termasuklah kehilangan nyawa orang yang tidak bersalah. Rasulullah SAW juga bersabda: “Setiap yang memabukkan itu adalah khamr, dan setiap khamr itu haram.” (Riwayat Muslim)

Dan dalam hadis lain baginda bersabda: “Khamr itu ibu segala kejahatan.” (Riwayat an-Nasaie)

Jelas bahawa perbuatan meminum arak bukan semata-mata dosa peribadi, tetapi menjadi punca kepada kemudaratan sosial yang besar, termasuk tragedi seperti yang berlaku beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa pelaku yang menyebabkan kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk tidak boleh dilayan sebagai pesalah biasa. Mereka telah secara sedar mengambil risiko yang boleh membunuh orang lain, dan akhirnya ia benar-benar berlaku.

Ini adalah suatu bentuk pembunuhan akibat kecuaian berat yang wajar dikenakan hukuman yang tegas dan setimpal.

Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah berpandangan bahawa:

Pertama, hukuman yang lebih keras perlu dikenakan ke atas pemandu mabuk yang disabitkan menyebabkan kematian, termasuk hukuman penjara maksimum dan sekatan seumur hidup daripada memandu.

Kedua, pendekatan undang-undang syariah yang menekankan aspek pencegahan (zajr) dan keadilan wajar diperhalusi dalam konteks negara agar pelaku jenayah yang berpunca daripada arak dikenakan hukuman yang benar-benar memberi pengajaran kepada masyarakat.

Ketiga, usaha pendidikan dan kesedaran masyarakat mesti diperkukuh bahawa memandu dalam keadaan mabuk bukan sekadar salah di sisi undang-undang, tetapi dosa besar di sisi agama.

Keempat, keluarga mangsa tidak boleh dibiarkan menanggung derita sendirian. Keadilan untuk mereka mesti ditegakkan, dan masyarakat perlu bersatu menolak budaya yang meremehkan bahaya arak.

Kita tidak boleh lagi bertolak ansur. Berapa ramai lagi yang perlu menjadi korban sebelum kita benar-benar tegas?

Tragedi itu harus menjadi titik perubahan. Negara ini tidak boleh menjadi tempat untuk nyawa manusia diragut dengan mudah hanya kerana kelalaian dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Kami menyeru semua pihak termasuk kerajaan, ahli parlimen pembangkang, penguat kuasa, institusi agama dan masyarakat untuk bersama-sama memperkukuh undang-undang, memperhebat pendidikan, dan menegakkan keadilan tanpa kompromi.

Nyawa manusia bukan murah. Dan keadilan tidak boleh ditangguhkan.


Pandangan itu ditulis oleh ATRIZA UMAR bagi pihak Biro hal ehwal Syariah Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS