Konflik ketenteraan di rantau teluk yang melibatkan Iran dan pakatan Amerika Syarikat–Israel telah memasuki bulan kedua. Konflik besar ini genap sebulan pada 28 Mac. Media tempatan merujuk konflik ini sebagai krisis Asia Barat yang berpotensi menjadi "Perang Teluk 2.0".
Menghadapi cabaran potensi krisis tenaga yang masih tidak menentu, rakyat dinasihatkan untuk berjimat khususnya dalam penggunaan tenaga elektrik dan bahan api walaupun cuaca agak panas.
Ini harus dimulakan di pejabat-pejabat kerajaan dengan langkah-langkah penjimatan yang sesuai seperti mengurangkan waktu kerja fleksibel dan lebih banyak mengadakan mesyuarat secara maya.
Kesedaran bahawa jika kemelut berpanjangan, langkah-langkah lain yang boleh membantu penjimatan termasuk pembelajaran di sekolah dan universiti secara maya sekiranya perlu untuk mengurangkan penggunaan tenaga selain kerja dari rumah yang cuba diperkenalkan kepada bidang-bidang kerja tertentu.
Filipina contohnya antara negara yang telah mengisytiharkan darurat tenaga dan mengambil langkah-langkah untuk menanganinya.
Kita tidak boleh rasa selesa dengan kelebihan yang kita ada sekarang kerana ia tidak semestinya kekal.
Bagi yang menggunakan kenderaan diesel pasti akan terasa perit disebabkan kos bahan api yang meningkat secara drastik. Permintaan yang tinggi dan pembelian pakik disebabkan ketersediaan bahan yang tidak menentu menyumbang kepada peningkatan harga.
Bila tidak ramai ingin membeli kenderaan diesel, harga kenderaan akan jatuh.
Pada masa yang sama, ramai mungkin berkira-kira untuk menjual kenderaan diesel dan ini boleh menyumbangkan lagi pada kejatuhan harga. Pastinya menjadi beban juga untuk mereka menyelesaikan pinjaman dengan bank.
Antara langkah jangka pendek yang boleh membantu pengguna kenderaan diesel, kerajaan boleh perkenalkan moratorium yang pernah digunakan semasa Covid-19 dengan memberi pengecualian bayaran sewa beli untuk beberapa bulan.
Semoga negara dapat melalui fasa mencabar ini dengan jayanya dan rakyat memberi kepercayaan kepada pihak kerajaan untuk menghadapi kemelut ini. Kurangkan politiking dan semua pihak harus membantu dan bersama dalam menghadapi kesusahan ini.
Kerajaan juga patut memantau harga barang-barang keperluan khususnya agar tidak menghadapi kenaikan yang tidak munasabah. Juga harga perkhidmatan yang berpotensi untuk naik dengan memberi insentif-insentif yang berpatutan.
ROSLI ALLANI ABDUL KADIR ialah mantan ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
