SURAT | Presiden AS Donald Trump dilaporkan terpaksa akur dengan beberapa tuntutan Iran, sekali gus membuka jalan kepada gencatan senjata selama dua minggu, satu perkembangan yang mencerminkan perubahan tekanan di medan geopolitik.
Selama ini lantang dengan ugutan dan retorik keras, Trump akhirnya dilihat sekadar “kuat berbunyi” tanpa hasil yang benar-benar mengubah keadaan.
Di mata dunia, situasi ini memberi gambaran bahawa tekanan yang dibina tidak menjadi, malah bertukar menjadi 'malu' dan tamparan besar kepada dirinya.
Republik Islam Iran kini dilihat muncul sebagai kuasa yang semakin dominan dalam pelbagai aspek, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama yang tidak lagi boleh dipandang ringan di pentas global.
Dalam perkembangan yang sama, AS terpaksa berdepan realiti pahit apabila strategi tekanan dan ugutan yang dilaksanakan gagal mencapai hasil yang diharapkan.
Tumpuan dunia kini semakin terarah kepada Israel yang dilihat semakin terhimpit, dengan tekanan yang kian memuncak dari pelbagai sudut. Ini melibatkan ketenteraan, politik dan juga persepsi antarabangsa.
Lebih memeranjatkan, Trump dilaporkan terpaksa mendapatkan bantuan Pakistan bagi memujuk Iran menerima cadangan gencatan senjata, satu gambaran jelas tentang tekanan yang semakin meningkat terhadap Washington.
Kegusaran itu semakin terserlah apabila ugutan yang dilemparkan tidak lagi diendahkan oleh Tehran. Malah, Iran secara terbuka memberi amaran akan melancarkan tindak balas yang lebih keras, termasuk ancaman terhadap kelangsungan rejim Israel.
Dalam masa yang sama, ketegangan serantau terus memuncak apabila Yaman mengeluarkan amaran untuk menutup sepenuhnya laluan strategik seperti Bab al-Mandab, Laut Arab dan Teluk Aden, satu langkah yang berpotensi memberi kesan besar kepada kestabilan serantau serta rantaian perdagangan global.
Perkembangan ini secara tidak langsung memperlihatkan perubahan keseimbangan kuasa di Timur Tengah bahkan dunia, kehebatan Republik Islam Iran kini semakin dilihat sebagai antara kuasa besar yang sedang bangkit, didorong oleh strategi ketenteraan dan pendekatan kepimpinan yang semakin tersusun.
Peranan Pemimpin Tertinggi Iran yang baru, Ayatullah Sayyid Mojtaba Khamene'i serta IRGC (Tentera Elit Revolusi Islam) turut menjadi faktor penting dalam memperkukuhkan kedudukan tersebut di mata dunia Islam.
Konflik yang berlarutan hampir 40 hari menunjukkan Iran tetap berdiri teguh melawan AS dan rejim Israel dengan kekuatan ketenteraan yang hebat.
Ini sekali gus menandakan berakhirnya era pengaruh mutlak kuasa besar AS dan Israel dalam menentukan hala tuju geopolitik di kawasan tersebut.
Dalam masa yang sama, implikasi terhadap ekonomi global tidak boleh dipandang ringan. Sebarang gangguan berpanjangan di laluan strategik maritim berpotensi mencetuskan lonjakan harga minyak dan kos logistik, sekali gus memberi kesan rantaian kepada inflasi dunia.
Situasi ini menjadikan konflik tersebut bukan lagi isu serantau semata-mata, tetapi satu krisis yang mampu menggoncang kestabilan ekonomi antarabangsa.
ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN merupakan pemerhati geopolitik Asia Barat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
