Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Isu bahan api: Antara jaminan sementara dan penyelesaian mampan

Pengumuman Petronas bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyak di Malaysia terjamin sehingga akhir Jun adalah satu perkembangan yang sememangnya memberi kelegaan sementara kepada rakyat dan sektor ekonomi negara.

Namun, jaminan bekalan untuk tempoh jangka pendek ini tidak seharusnya menutup keperluan mendesak supaya kerajaan merangka pelan jangka panjang yang lebih mampan, telus dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan pasaran global.

Kebimbangan utama rakyat adalah seperti berikut:

  • Ketidaktentuan bekalan selepas Jun – Tiada jaminan jelas untuk tempoh seterusnya boleh mencetuskan panik pengguna dan spekulasi pasaran.

  • Kebergantungan kepada faktor luar – Harga dan bekalan bahan api negara masih terdedah kepada turun naik geopolitik dan pasaran minyak dunia.

  • Impak kepada kos sara hidup – Sebarang gangguan bekalan atau kenaikan harga akan memberi kesan langsung kepada rakyat serta rantaian bekalan domestik.

Justeru kerajaan disarankan mengambil beberapa langkah solusi dan cadangan strategik seperti pelan jaminan bekalan jangka panjang.

Kerajaan bersama Petronas perlu mengumumkan pelan komprehensif sekurang-kurangnya untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang bagi mengelakkan ketidakpastian.

Selain itu pengukuhan stok simpanan strategik negara dengan meningkatkan kapasiti simpanan bahan api negara sebagai buffer menghadapi krisis bekalan global.

Putrajaya juga perlu menyampaikan menyediakan laporan berkala kepada rakyat mengenai status bekalan dan unjuran pasaran bagi membendung panik serta manipulasi.

Sekiranya berlaku kenaikan harga, mekanisme subsidi bersasar perlu diperkukuh agar golongan berpendapatan rendah tidak terkesan secara langsung sebagai perlindungan bersasar kepada rakyat.

Jaminan bekalan sehingga akhir Jun adalah langkah awal yang positif, namun ia bukan penyelesaian mutlak. Negara memerlukan pendekatan yang lebih strategik dan bersepadu bagi memastikan keselamatan tenaga negara kekal terpelihara dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, keutamaan harus diberikan kepada kestabilan, ketelusan dan kebajikan rakyat agar sebarang cabaran bekalan tidak bertukar menjadi krisis yang lebih besar.


SHAHIR ADNAN adalah aktivis politik dan profesional industri tenaga.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS