SURAT | Aliran menggesa kerajaan “Madani” supaya menghentikan siasatan polis yang sedang dijalankan terhadap B Nantha Kumar, wartawan kanan Malaysiakini, yang berpunca daripada laporan beliau mengenai cadangan kerajaan untuk melaksanakan sistem digital baharu bagi menguruskan pekerja asing.
Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, yang menjenayahkan pendedahan maklumat tanpa kebenaran, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Polis turut menggeledah kediaman Nantha – tindakan yang digambarkan oleh rakan-rakan sejawatnya dan para pendukung kebebasan akhbar sebagai satu bentuk ugutan.
Amat mendukacitakan apabila diketahui bahawa siasatan ini dicetuskan setelah Kementerian Sumber Manusia membuat laporan polis berhubung liputan Nantha – sedangkan Malaysiakini dilaporkan telah meminta ulasan daripada kementerian tersebut sebelum artikel berkenaan diterbitkan.
Dengan kata lain, kementerian itu enggan menggunakan hak balas yang ada padanya, sedangkan ini merupakan amalan standard dalam kewartawanan sebagai usaha untuk mencapai keadilan dan keseimbangan dalam pelaporan.
Namun, berdiam diri dan kemudiannya membuat laporan polis sama sekali tidak membantu mencerahkan kefahaman orang ramai.
Malah, ia menyemarakkan lagi desas-desus yang beredar. Sistem digital yang dicadangkan untuk pekerja asing – yang dipercayai akan dinamakan Universal Recruitment Advanced Platform atau Turap – adalah perkara yang menyentuh kepentingan dan kebimbangan awam.
Dakwaan mengenai rasuah dan eksploitasi oleh sindiket dalam sistem pengambilan pekerja asing merupakan isu-isu serius yang menuntut penyiasatan yang teliti serta pelaporan bebas oleh media.
Serangan terhadap demokrasi
Pertaruhannya terlalu tinggi. Sistem pengambilan pekerja asing di Malaysia telah lama bergelumang dengan kos yang tinggi, kebajikan pekerja yang lemah dan kebimbangan terhadap amalan rent-seeking. Inilah jenis isu yang perlu diteliti oleh wartawan bagi pihak orang ramai.
Sama menggerunkan, siasatan sedemikian menjadikan kewartawanan sebagai satu jenayah dan menjejaskan tanggungjawab wartawan untuk meliput berita yang begitu penting kepada orang ramai.
Siasatan dan penggeledahan ke atas kediaman Nantha Kumar sudah tentu akan memberi kesan yang menggerunkan kepada wartawan-wartawan lain yang menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi. Tindakan-tindakan ini merupakan serangan terhadap kebebasan akhbar dan demokrasi.
Adakah menghairankan bahawa kedudukan kebebasan akhbar Malaysia telah jatuh tujuh tangga ke kedudukan ke-95 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia terbaru yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders?
Penapisan melanggar prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang didukung oleh kerajaan Madani.
Kami menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan lama yang berbahaya apabila berhadapan dengan kebimbangan dan kritikan orang ramai.
Kewartawanan bukan jenayah. Biarkan Nantha Kumar melakukan tugasnya.
Tulisan ini merupakan pandangan Jawatankuasa eksekutif Aliran dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
