Dalam pasaran hartanah Malaysia, rumah lelong menduduki kedudukan yang janggal – ia berada di mana-mana, namun jarang menjadi pilihan utama sesiapa pun. Apabila menyebut tentang hartanah lelong, reaksinya hampir dapat dijangka. Pembeli sering bimbang tentang feng shui yang buruk, kisah seram mengenai unit yang terbiar, dan mempunyai keutamaan yang kuat terhadap rumah baharu binaan pemaju yang masih bersih.
Namun jika stigma itu diketepikan, satu persoalan yang lebih mencabar muncul – adakah kita terlepas pandang salah satu titik kemasukan yang paling praktikal untuk memiliki hartanah? Hakikatnya, hartanah lelong kekal sebagai salah satu segmen di mana peletakan harga masih masuk akal secara merta. Diskaun sebanyak 20 peratus hingga 40 peratus bawah nilai pasaran adalah mungkin, dan dalam situasi yang kemampuan semakin terbeban, harga sedemikian sukar untuk diabaikan.
Bagi pembeli muda dan pelabur kali pertama, ini mungkin bermakna perbezaan antara memasuki pasaran atau terus terkeluar kerana harga yang terlalu tinggi. Namun, di sebalik perkara ini, hartanah lelong jarang diberikan pertimbangan serius. Tidak seperti pelancaran baru yang dipasarkan secara agresif oleh pemaju, hartanah lelong menerima promosi yang minimum. Terdapat sedikit insentif komersial untuk ejen mengutamakannya, dan lebih sedikit usaha dilakukan untuk mendidik pembeli tentang proses tersebut. Apa yang tinggal adalah pasaran khusus yang didominasi oleh pelabur berpengalaman – mereka yang sanggup mengharungi kerumitan demi mendapatkan nilai.
Kerumitan itu, bagaimanapun, adalah nyata. Membeli hartanah lelong bukanlah sesuatu yang pasif. Ia menuntut penelitian rapi, kesediaan kewangan, serta toleransi terhadap ketidakpastian dan risiko. Hartanah dijual atas dasar sebagaimana adanya, seringkali tanpa milikan kosong, bermakna ia mungkin masih dihuni. Kos tersembunyi seperti yuran penyelenggaraan yang tertunggak, bil utiliti yang tidak dibayar, atau kaveat yang tidak didedahkan boleh menghakis nilai tawaran tersebut dengan cepat.
Risiko pembiayaan juga sama mencabar; kegagalan untuk mendapatkan pinjaman dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh menyebabkan deposit hangus. Tetapi risiko ini bukanlah kecacatan sistem – ia adalah harga untuk akses tersebut. Dalam banyak perkara, pasaran lelong memberi ganjaran kepada persediaan berbanding keselesaan. Pembeli yang sanggup memeriksa, menyelidik, dan merancang bajet dengan teliti adalah mereka yang berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan nilainya. Lagipun, ketelitian sedemikian bukan hanya unik untuk pembelian lelong; ia diperlukan dalam mana-mana transaksi pembelian hartanah. Perbezaannya terletak pada tahap komitmen awal yang diharapkan.
Dalam iklim ekonomi hari ini, di mana inflasi terus menekan kewangan isi rumah dan harga hartanah kekal tinggi, keengganan untuk mempertimbangkan hartanah lelong terasa semakin ketinggalan zaman. Ia mungkin tidak sesuai untuk setiap pembeli, tetapi menolaknya secara terus mencerminkan keutamaan terhadap keselesaan berbanding pengiraan. Pasaran lelong tidak rosak – ia cuma disalah anggap.
WALLACE KEW JIARONG adalah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini diterjemah daripada versi asal dalam bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
