Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Apa kata ahli PAS pada naratif MP Pasir Puteh?

SURAT | Dunia intelek hari ini dikejutkan dengan satu naratif yang bukan saja dangkal, malah cukup menjijikkan.

Mendakwa Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai ceti dan Umar al-Khattab kononnya penzina sebelum Islam adalah pelacuran sejarah yang dilakukan oleh mereka yang kononnya ingin dilihat berani dan berbeza.

Sedangkan pada hakikatnya mereka hanya mempamerkan kejahilan yang bertingkat-tingkat.

​Apakah itu kualiti pemimpin yang ingin kita jadikan ikutan?

Insan yang sanggup mengorek sampah imaginasi demi memburukkan peribadi insan-insan yang telah dijamin syurga?

Menyamakan seorang saudagar kain yang jujur seperti Abu Bakar dengan istilah ceti — yang bersifat lintah darat — adalah penghinaan terhadap sistem muamalat Islam.

Begitu juga tohmahan zina ke atas Umar, ia hanyalah imaginasi liar yang lahir daripada jiwa yang ketandusan adab.

Sangat ironi apabila mereka yang gagal menjaga lisan hari ini cuba mempersoalkan kesucian peribadi tokoh yang syaitan pun gerun untuk melintas jalannya.

Saya ingin bertanya secara terbuka: Apa kata ahli-ahli dan penyokong PAS dalam isu ini? Sebagai sebuah parti yang sering melaungkan perjuangan mendaulatkan Islam, apakah kalian akan terus membisu apabila maruah para sahabat Nabi SAW dipijak-pijak sebegitu rupa?

Nik Zawawi Salleh

​Janganlah hanya gah di pentas politik membicarakan tentang hukum-hakam, namun apabila benteng kehormatan salafussoleh dicemari, kalian memilih untuk bersikap selektif.

Keikhlasan perjuangan itu letaknya pada ketegasan membela kesucian agama, bukannya pada kepentingan perkiraan politik kepartian semata-mata.

Suka saya ingatkan semua pihak kepada amaran keras daripada Rasulullah SAW: ​"Janganlah kamu mencaci-maki sahabatku! Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya salah seorang antara kamu menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, maka itu tidak akan dapat menyamai satu cupak (infak) salah seorang dari mereka" (Bukhari dan Muslim).

​Sesiapa yang berani melanggar wasiat itu demi sedikit perhatian duniawi, mereka sebenarnya sedang menempah kemurkaan yang nyata.

Kepada para pemimpin yang galak mencipta kontroversi murahan, nasihat saya ialah: bumikanlah adab sebelum berbicara tentang ilmu.

Sejarah bukan kanvas kosong untuk anda coretkan dengan warna kejahilan sendiri. Jika tidak mampu memberikan teladan yang baik, sekurang-kurangnya janganlah menjadi punca masyarakat menjadi sesat dan biadab.


AHMAD IZWAN HAMZAH ialah anggota tertinggi Majlis Ulama Umno Malaysia merangkap Naib Ketua Umno Ampang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS