Tulisan Steve Chan mengenai Bahasa Melayu bukanlah perkara sensasi, terkini dan mega untuk diperkatakan ([#1] The Malay dilemma [/#], March 14). Sudah tentu juga tidak memerlukan 'bailout', akta hasutan dan laporan polis oleh polis untuk menyegerakan tindakan.
Penulis tidak perlu bersedih, risau dan gelisah mengenangkan nasib Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan. Dilema Bahasa Melayu akan tetap berpanjangan selagi 'Takkan Hilang Melayu Di Dunia'. Sudah menjadi sebahagian dari menu harian dan sudah menjadi rempah-ratus, kalau tidak sambal yang menambah selera makan. Tanpa dilema ini, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak perlu wujud.
Tidak perlu menyalahkan ke'raja'an atau 'kera'jaan yang ada kerana Bahasa Melayu tidak termasuk dalam 'tuntutan' dan 'ancaman' Suqui. Semua ini juga tidak termasuk dalam 'sumpah tujuh keturunan' yang di hukumkan oleh Mahsuri ke atas Langkawi.
Mungkin pula, keprihatinan penulis dan mereka yang bukan Melayu boleh dianggap sebagai mencampuri urusan hal-ehwal istiadat bangsa Melayu dan boleh menjadi punca kepada kegagalan 'Agenda Perpaduan Melayu' yang sedang menghantui kepimpinan Umno (Baru)!
