Tawaran hebat kerajaan untuk memanggil pulang rakyat golongan professional, terutama dalam IT sememangnya satu perkara yang boleh dianggap sekadar gimik bermusim semata-mata. Usaha ini sememangnya baik di atas kertas tetapi bukan satu perkara yang boleh dibuat sekadar melepas batuk di tangga atau sedawa di tandas.
Laporan yang dibuat oleh pihak yang relevan dengan penawaran ini, seperti diduga akan bernada positif dan memberangsangkan. Dikatakan setiap hari telefon, emel dan surat diterima bertanyakan tentang tawaran itu. Walau tanpa statistik dan data yang berwibawa, tetapi cukup untuk kerajaan menabik dada. Hakikatnya tawaran seumpama ini bukanlah perkara terkini, pertama kali dan terakhir kali. Telah beberapa kali dibuat sebelumnya dan nampaknya untuk tahun mendatang juga.
Tawaran sensasi dan terkini, memberi tiga tawaran istimewa, yakni pelepasan cukai untuk pendapatan yang dibawa pulang dalam tempoh dua tahun; kesemua harta persendirian termasuk dua buah kereta tanpa cukai; serta suami/isteri dan anak-anak yang bukan warganegara akan diberikan taraf permastautin enam bulan dari tarikh ketibaan.
Itu sahajakah?
Apakah dengan tawaran diskaun jualan lelong sebegini membuatkan ribuan profesional berebut-rebut dan tidak sabar-sabar lagi untuk pulang? Segera memberikan notis 24 jam dan membeli tiket kapalterbang pertama yang ada untuk tiba di KLIA? Begitu tinggikah semangat patriotisme mereka?
Ramai yang berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik daripada sebelumnya. Tentunya mereka ini bukan calang-calang pekerja yang mendapat tawaran lumayan dengan segala kemudahan. Ramai yang mempunyai kepakaran yang dalam keperluan dunia. Maka pasaran untuk mereka sememangnya tidak terbatas.
Lebih dari itu, persekitaran tempat bekerja yang lebih baik dengan ruang untuk meningkatkan pengalaman menjadi satu persepsi yang benar. Peluang dan pendedahan di peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang boleh dikepaskan begitu sahaja. Faedah sampingan untuk keluarga terutama pendidikan anak-anak juga satu sebab kukuh untuk terus berada di luar negara.
Banyak sebab lain yang boleh menenggelamkan tawaran lelong kerajaan tersebut. Lebih dari itu ialah apakah sekiranya mereka pulang, mereka akan menerima tawaran pakej yang lebih baik? Apakah cukup dengan dua buah kereta mewah untuk bergaya dengan pendapatan yang kurang? Apakah kepakaran mereka boleh dimanafaatkan? Bagaimana dengan keadaan politik semasa? Bagaimana dengan karenah birokrasi? Apakah mereka ini benar-benar diperlukan? Realistikkah untuk pulang tanpa tawaran kerja yang meyakinkan?
Membawa mereka pulang dengan pancingan tawaran tidak semestinya boleh pula menahan mereka atau yang lainnya untuk tidak kembali berhijrah. Ianya akan menjadi satu pusingan yang tidak henti kitarannya. Di sebalik gambaran suasana ekonomi negara yang dikatakan pulih, ramai yang memang mahu berhijrah. Keluar untuk kehidupan yang lebih baik, kalau tidak kerajaan yang lebih baik.
Sebenarnya, dengan memberi tawaran hebat kepada mereka yang berada di luar negara untuk pulang dengan sendirinya meng'anak-tiri'kan profesional yang masih berada di tanahair. Seolah-olah tidak menghargai penat-lelah dan patriotisme mereka ini dalam memajukan negara. Merekalah yang sebenarnya perlu dijaga dengan layanan istimewa.
Berikan mereka perlepasan cukai, benarkan mereka membeli kereta bebas cukai, pinjaman perumahan yang fleksibel, kemudahan pendidikan dan keutamaan dalam bidang keusahawanan. Ujudkan satu skim keusahawan yang tidak berdasarkan kronisme atau fahaman politik.
Lebih jauh dari itu, kerajaan mesti menjadi lebih telus, terbuka dan profesional dalam segala segi. Baik untuk birokrasi, demokrasi dan demonstrasi. Profesional yang di luar negara tentunya lebih terdedah dan lebih bebas. Adalah silap untuk berfikir yang mereka memandang wang dan kebendaan semata-mata. Tawaran terkini itu sebenarnya tidak bererti apa-apa dibandingkan dengan nilai dan kualiti kehidupan.
Kesimpulannya, adalah lebih baik untuk kerajaan menjaga profesional yang belum lagi berhijrah sebelum tawaran demi tawaran menjadi begitu 'tawar', sekadar sebagai gimik jualan murah bermusim. (Tunggu tahun depan, mungkin tawaran akan lebih baik, boleh bawa balik dua kapalterbang peribadi tanpa cukai!).
