Saya amat tertarik dengan pandangan Abdul Kadir Pandi [#1] Portal untuk 'membalas dendam' [/#] (30 Mac), tetapi maaf jika saya lantang mengatakan pandangan saudara agak 'pandir'.
Saya sekarang amat malu. Sedih kerana orang Melayu-Islam sendiri yang begitu ghairah untuk memperkatakan tentang soal kafir-mengkafir. Saya rasa soal ini telah berlalu begitu lama. Tetapi hairan kenapakah tiba-tiba sahaja akhbar arus perdana membangkitkan semula soal tersebut.
Dan penulis yang begitu mendabik untuk membawa 'kemajuan' kepada kami rakyat Malaysia begitu mahukan soal itu menjadi buah bicara rakyat kami. Bagi saya, biarkanlah soal tersebut berkubur tanpa nesan kerana kenangan atau sebarang petanda bahawa ia pernah wujud di kalangan kami hanya akan membawa kepada perkara yang tidak molek.
Apabila penulis melihat/membaca sesuatu yang mengkritik pihak kerajaan, saudara mengatakan portal ini anti-kerajaan. Pada masa yang sama saudara mahukan ia bebas. Jadi kalau tidak boleh mengkritik kerajaan, bagaimana ia boleh menjadi bebas? Bagi saya, cukuplah dengan akhbar arus perdana yang tidak bebas. Saya percaya, jika penulis meneliti bahan-bahan berita dan penulisan di portal ini, penulis akan terhidu angin kebebasannya.
Bagaimana saudara boleh menuduh, portal ini mencium bau cerita-cerita negatif tentang pemimpin pembangkang, tetapi sengaja disembunyikan? Bagaimana saudara mengetahuinya? Apakah asas tuduhan saudara itu?
Maaf, saya bukanlah pengampu portal ini, tetapi saya ingin membawa penulis kepada 'arus pemikiran bebas yang sebenar'.
Penulis merasakan portal ini adalah untuk membalas dendam, tetapi sedarkah penulis bahawa apa yang melanda malaysiakini beberapa tempoh yang lalu, di mana ia diserang begitu hebat juga merupakan salah satu agenda 'balas dendam' pihak-pihak tertentu kerana malaysiakini dilihat cuba berlaku 'bebas' dalam liputannya.
Saya tidak yakin dengan kata-kata penulis bahawa "Ramai orang Singapura yang berpendidikan kesal dengan sikap malaysiakini ." Kami ada cara kami sendiri untuk meningkatkan kemajuan kami.
Terima kasih atas perhatian penulis, tetapi kami rasa penulis juga patut melihat ke dalam diri penulis sendiri di sana. Di manakah kedudukan penulis dalam negara sendiri?
