Dilaporkan bahawa jambatan kedua Pulau Pinang yang dirancang akan menelan kos RM4.3 bilion - ia merupakan satu jumlah wang yang besar.
Malah apabila kita mempertimbangkan, jambatan kedua bukanlah pilihan yang dikehendaki oleh penduduk negeri ini.
Sebuah lagi jambatan hanya akan menambahkan lagi kesesakan lalulintas di Pulau Pinang yang sudah sedia sesak dengan kenderaan. Adalah dikatakan bahawa kerja-kerja melebarkan Jambatan Pulau Pinang tidak memadai memandangkan jambatan itu akan menjadi sesak kembali dalam beberapa tahun.
Jika demikian, logik yang sama boleh dipakai kepada Jambatan Kedua, yang juga akan menjadi sesak jika aliran yang sama berlaku.
Pada ketika itu, apakah penyelesaian yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa berkenaan – membina satu lagi jambatan, sementara itu penduduk Pulau Pinang terus berdepan dengan kesesakan lalulintas?
Terdapat pilihan yang lebih baik daripada membina Jambatan Kedua. Salah satu daripadanya, mempertingkatkan perkhidmatan feri.
Untuk tujuan ini, lebih banyak feri diperlukan, dan lebih banyak pangkalan feri dibina di beberapa kawasan strategik di bahagian pulau dan Seberang Perai.
Perkhidmatan bas yang mencukupi juga perlu diadakan untuk membawa penumpang dari pangkalan ke bahagian-bahagian lain di negeri ini.
Jika laluan ketiga diperlukan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai, maka ia seharusnya dihubungkan dengan Transit Aliran Ringan (LRT), yang boleh memuatkan lebih ramai penumpang berbanding kereta persendirian yang menyebabkan kesesakan.
Perkhidmatan feri, bas dan LRT dapat menyediakan perkhidmatan pengangkutan antara pulau dan Seberang Perai.
Paling penting, tumpuan mestilah diberikan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang supaya lebih cekap, menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar, terutama ketika harga minyak yang mahal dan wujud masalah pemanasan global.
Sehubungan itu, RM4.3 bilion atau sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk membiayai rangkaian pengangkutan yang lebih berkualiti kepada penduduk Pulau Pinang.
Ia mungkin tidak sehebat jambatan kedua yang menjadi mercu tanda baru, tetapi lebih mesra pengguna. Tentunya inilah yang paling dikehendaki oleh para penduduk.
S M Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang
