Most Read
Most Commented
Read more like this

Rencana Lee Ban Chen dalam kolum tetapnya dalam malaysiakini , Bumi Dipijak, yang bertajuk "Angkara 'Kerajaan Purplaya', maruah tercabar?" (25 April) cuba merasionalkan puisi tulisan Cecil Rajendra yang tersiar dalam Majalah Aliran Monthly , yang menimbulkan perasaan tidak senang segolongan masyarakat Melayu Malaysia. Sayang sekali saya tidak melihat tulisan Dr Hassan Ahmad dan Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail serta kenyataan Kalam, jadi tulisan saya hanya berdasarkan petikan daripada penulis sahaja.

Pertama, penulis menyatakan bahawa Dr Hassan Ahmad "cuba membuktikan" kesalahan warisan penjajah yang menganggap Melayu bukan penduduk asal Semenanjung. Penulis menyebut bahawa fakta sejarah adalah objektif.

Persoalannya, adakah penulis mempunyai fakta yang lebih tepat berbanding ahli sejarah kini berkenaan petempatan awal masyarakat di Tanah Melayu (Malaysia) ini?

Memang benar, seperti yang disebut oleh penulis, Orang Asli merupakan penduduk asal negara ini.

Tetapi jika dilihat daripada teori lapuk berkenaan penghijrahan penduduk ke Tanah Melayu kita dapati ada tiga gelombang kedatangan "orang asing" ke tanah ini (yang menurut mereka tidak bertuan). Dua golongan terawal "berundur" ke pedalaman selepas tiba golongan yang seterusnya: golongan pertama berundur selepas ketibaan golongan kedua, dan kedua selepas ketibaan golongan ketiga. Golongan ketiga inilah yang menjadi dominan hingga kini, iaitu masyarakat Melayu.

Persoalannya: mengapa Orang Asli dari peringkat pertama dan kedua sahaja menjadi penduduk Asli (seperti kata Cecil Rajendra, dan disokong penulis) dan tidak golongan ketiga? Jelas sejarah yang objektif seperti kata penulis tidak bermakna ia boleh diputar belitkan jika ia sudah terbukti benarnya!

Kedua, penulis memetik hujah Rajendra bahawa maksud puisi itu boleh jadi sesiapa sahaja!

Memang, itulah hakikat puisi (dan karya kreatif lainnya). Namun dalam pada itu, seperti kata Abnram, puisi tidak lahir dari kekosongan (vakum). Dan pengkritik puisi pula tidak akan mengkritik secara membuta tuli (walaupun pengkritk yang disebut oleh penulis "mungkin" pengkritik terlatih), tetapi berdasarkan rangkap dan ungkapan yang termaktub di dalam puisinya.

Puisi Rajendra telah secara hampir mutlak ditujukan kepada Melayu Malaysia walaupun tanpa menyebut hal itu secara jelas. Namun maksud tersiratnya jelas. Mana mungkin kerajaan Zimbabwe atau Palestin atau Fiji atau Singapura! Sebab, tiada "pendatang" dari Indonesia yang memegang tampuk kuasa di negara-negara yang disebut olehnya itu. Sudah terang lagi bersuluh. Sekilas ikan di air sudah kutahu jantan betinanya!

Ketiga, saya bersetuju dengan hujah penulis bahawa masalah yang dibangkitkan berkait dengan amalan korup golongan elit pemerintah yang patut disanggah.

Sayangnya, Rajendra telah, sama ada secara sedar atau tidak, menyinggung perkara-perkara asas yang lain. Yakni masalah asal-usul orang-orang Melayu dan statusnya di Malaysia (walaupun beliau, menurut penulis, menafikan niat sedemikian!).

Sebagai peringatan, pada tahun 1987 sebuah parti politik telah menimbulkan perkara ini demi meraih undi yang semakin kurang popular dan kesannya ialah kemarahan yang hampir tidak terbendung oleh satu pihak lain (walaupun mereka rakan kongsi).

Sepatutnya, seperti nasihat penulis kepada pengkritik Rajendra agar tidak menurutsertakan masalah kaum dalam masalah ketidaktelusan pelaksanaan dasar dan perlembagaan. Lebih-lebih lagi dengan mempertikaikan empat asas dan dasar yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan Malaysia. Nafikan sahaja jika ingin menafikan, namun hakikat tidak terhapus dengan penafian!

Pelaksanaan dasar dan "pembelaan terhadap orang asal" negara ini memang patut dan saya menyokongnya dengan penuh. Bahkan usaha menjadikan seluruh kaum di Malaysia sebagai bangsa Malaysia perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Pembelaan terhadap golongan yang tertindas dan melarat perlu dilaksanakan semaksima mungkin. Penyelewengan dan penguasaaan elit politik dalam bidang ekonomi dan social serta rasuah yang berleluasa dalam masyarakat perlu diperbetulkan. Sama seperti rangkap terbawah puisi Rajendra.

Cuma, seperti harapan penulis, masalah perkauman tidak diheretsertakan dalam perkara yang tidak terbatas kepada kaum tertentu (bahkan elit politik dari semua kaum terbesar negara menikmati habuan yang sama - begitu besar).

Jika ingin melahirkan masyakat Malaysia yang bersatu-padu, beberapa dasar penting yang menggariskannya perlulah diikuti. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, dan Penyata Razak dalam Dasar Pelajaran perlu diterima semua kaum. Itulah unsur yang menjadikan Malaysia berintegrasi.

Namun kaum-kaum bukan Melayu nampaknya begitu kuat ingin mengekalkan budaya, bahasa, dan sistem social mereka sendiri sehingga usaha menyatukan sistem pendidikan dan kebudayaan sering dilihat dengan penuh curiga dan ketakutan. Malang sekali! Sebagai perbandingan, pembentukan negara-bangsa di Thailand, Indonesia dan Singapura sungguh jauh berbeza dengan negara ini!

Akhir kalam, bangsa Malaysia yang diidam-idamkan kini masih rapuh. Lantaran itu, jangan sekali-kali menimbulkan sebarang masalah dengan mempersoalkan perkara yang dikategorikan sebagai sensitif. Boleh sahaja mempersoal pelaksanaan, akan tetapi sajak Cecil Rajendra dalam rangkap-rangkap pertamanya bermain dengan api!

Seharusnya semua pihak, termasuk parti politik kerajaan mahupun pembangkang menghormati perlembagaan negara, termasuklah empat peruntukan khusus untuk masyarakat Melayu- Bumiputera, walaupun ia sesuatu yang "lucu"!

Hormatilah hak orang lain agar orang lain menghormati hak kita. Jika tidak, perkara yang sudah lama berkubur pun akan diungkit-ungkit! Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan sampai putus, tepung pula jangan sampai berserak!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS