Most Read
Most Commented
Read more like this

Lawatan Dr Mahathir Mohamad ke Dubai merupakan satu pilihan yang tepat dan bijak dalam menilai falsafah pembangunan, ketelusan, kewarasan dan wawasan yang tidak mencampurkan kepentingan politik, peribadi, kroni dan anak-beranak. Tidak pasti apakah yang dapat dipelajari oleh seorang yang mengaku sebagai semi-diktator dan rombongan delegasi selain mungkin sekadar kejutan minda mengenai kesilapan mengukur baju di badan sendiri atau menabik dada yang semakin ganyut.

Projek mega yang bersilih datang di Malaysia dengan segala alasan tidak munasabah sebagai justifikasi telah menjadi gajah putih satu demi satu. Projek paling prestij satu masa dulu seperti Multimedia Super Corridor telah menjadi bahan lawak yang tidak lucu, malah tidak relevan apabila Dubai dengan waktu yang singkat, melalui Dubai Internet City menerima pelaburan dan sambutan yang jauh dari ekspektasi. Malah menjadi satu cermin tentang kedinamikan pemerintah yang meletakkan asas untuk satu tahap yang lebih tinggi buat rakyat.

Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dengan Dubai Internet City dari awal kewujudannya, saya merasa bertuah dapat mencurahkan tenaga fikiran secara profesional dalam membangunkan sebuah impian di padang pasir. Tanpa perlu satu 'Panel Penasihat Internet (IAP)' dengan nama-nama gah dan segala bentuk gimik pemasaran ke serata dunia. Tanpa segala gempita yang berdentum tanpa hujan turun, hanya kemarau berterusan.

Malangnya untuk Malaysia, setelah hampir lima tahun MSC masih teraba-raba untuk bersaing dengan dunia realiti sama ada secara online atau offline , kalau tidak ketinggalan dengan segala permainan wayang untuk kelihatan canggih secara kosmetik di mata rakyat tempatan. Yang majoritinya lebih mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Tanyalah kebanyakan syarikat yang berstatus MSC secara jujur dan off-record , majoriti akan bercerita panjang tentang 'apa yang sepatutnya dilakukan' oleh Multimedia Development Corporation dari awal.

Bukan rahsia besar yang Dubai secara amnya telah belajar dari sebuah negara bernama Singapura dalam memajukan ekonomi. Bukan juga rahsia yang Dubai bersikap liberal dalam banyak hal. Tetapi rahsia yang paling umum ialah ketelusan pemerintah dalam memastikan segala projek bertaraf nasional tidak sekadar sebuah konspirasi mengaut dana negara demi kepentingan satu dua manusia yang kemudiannya akan di'bail-out'kan atas nama 'kepentingan nasional'.

Dubai mahu menganjak lebih jauh termasuk ke dunia demokrasi. Kerana itu ucapan Mahathir mengenai perlunya wujud 'diktator baik' sebagai pilihan lebih baik dari demokrasi barat di bumi Dubai turut membuka mata ramai orang terhadap apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia. Beliau dengan bangga bercerita tentang 'kejayaan dan kegemilangan' beliau walau menyedari bahawa beliau kini berada di zaman yang silap, bukan lagi 70han!

Saya berharap Dubai tidak perlu belajar dari cara Mahathir 'mengerjakan' Malaysia. Malaysia yang perlu banyak belajar dari Dubai, pertama dengan merombak semula kepimpinan MSC dan melancarkan semula MSC bersesuaian dengan realiti dotcom hari ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS