Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya amat tertarik dengan perbincangan tentang gaji minimum untuk pekerja di Malaysia yang semakin hangat sejak beberapa hari ini atau lebih tepat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Secara rasionalnya saya amat menggalakkan penggunaan gaji minimum kepada sistem sosial pekerja di negara ini.

Terdapat dua faktor yang saya ingin perbincangkan tentang kelebihan pelaksanaan gaji minimum ini dan saya juga ingin memberi beberapa cadangan kepada mekanisme gaji minimum ini.

Pertamanya tentang kaedah pembasmi kemiskinan dan keduanya tentang pemangkin budaya mencari ilmu.

(i) Pembasmi Kemiskinan

Saya pernah belajar sepenuh masa di Amerika Syarikat dan juga bekerja separuh masa di sana. Gaji minimum pada waktu itu sekitar 1997 ialah USD5.25 sejam. Pekerja separuh masa dibenarkan melakukan pekerjaan selama empat jam sehari dan lima hari dalam seminggu.

Ini bermakna saya boleh bekerja 20 jam seminggu dan 80 jam bagi empat minggu (28 hari). Gaji saya dalam masa hampir sebulan itu ialah USD420. Wang sebanyak USD420 dapat saya gunakan untuk keperluan makanan dan minuman, sewa rumah dan perbelanjaan lain termasuk berlibur.

Bagi pekerja sepenuh masa, mereka boleh mengaut USD840 dalam masa empat minggu. Itulah gaji minimum pekerja-pekerja di Amerika Syarikat pada 1997.

Harga barangan runcit jauh lebih rendah di Amerika Syarikat daripada di Malaysia dan keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan kuasa beli pekerja-pekerja di sana.

Sebagai contoh, harga petrol di Amerika Syarikat pada waktu itu ialah USD1.10 segelen. Satu gelen di Amerika Syarikat bersamaan dengan 3.785 liter.

Secara purata, kebiasaannya seseorang pemandu hanya perlu memasukkan USD14.00 untuk mengisi penuh tangki keretanya - ini salah satu contoh yang menunjukkan USD840 jauh lebih besar daripada RM840 pada waktu itu.

Saya anggarkan USD840 pada waktu itu sama nilainya dengan RM1,200, dari segi kuasa membeli.

Cuba kita bayangkan jika gaji minimum seseorang di Malaysia sebanyak RM1,200 sekarang. Adakah ini mencukupi untuk keperluan harian masing-masing?

Mungkin bukan semua orang dapat menjawab "ya" pada soalan tersebut tetapi jika soalan itu diajukan kepada pekerja-pekerja gaji rendah atau sesiapa sahaja yang miskin, jawapan "ya" akan terkeluar dari mulut mereka dengan mudah.

Sepanjang pemerhatian saya, ramai pekerja di tempat saya belajar dulu menjalani kehidupan yang sederhana.

Mungkin dengan tanggungan yang ramai atau perancangan kewangan yang tidak baik - atau sikap pemalas sesetengah daripada mereka seperti golongan gelandangan - sahaja yang boleh membuat seseorang itu berada dalam paras kemiskinan.

Dan hanya dua isu yang boleh dianggap sebagai perkara yang mahal iaitu pendidikan kolej atau universiti dan perubatan. Oleh kerana perubatan yang mahal membuatkan ramai pekerja membeli insurans perlindungan atau bekerja di syarikat yang dapat memberikan mereka insurans atau perlindungan tersebut.

Adakah konsep gaji minimum ini melumpuhkan ekonomi Amerika Syarikat? Soalan itu boleh disangkalkan secara automatik jika kita lihat perkembangan negara tersebut sejak Perang Dunia Kedua hingga ke hari ini.

Amerika Syarikat sebuah negara yang mempunyai pasaran terbesar di dunia. Kemungkinan negara China akan mengatasi kuasa membeli per kapita Amerika Syarikat suatu hari nanti tetapi Amerika Syarikat masih lagi unggul dalam pasaran dunia.

Dengan adanya gaji minimum bagi pekerja di Malaysia, secara tidak langsung kita boleh mengelakkan daripada ketidakadilan sosial dengan ketidakseimbangan gaji bagi pekerja-pekerja bawahan.

Saya tidak pasti apakah "gaji paling murah" yang diberikan kepada pekerja di Malaysia tetapi, sepanjang pengetahuan saya, ada pekerja bawahan di Malaysia yang mendapat hanya RM400 sebulan. Adakah RM400 sebulan mencukupi pada waktu ini?

Dengan kadar inflasi yang tinggi dan kenaikan mendadak petrol dan makanan di seluruh dunia, RM400 sebulan mungkin hanya cukup memberi makanan dan minuman kepada seseorang individu sahaja tanpa mampu membayar bil utiliti dan perbelanjaan lain.

Penggunaan gaji minimum ini dapat mengurangkan beban pekerja-pekerja bawahan dan golongan miskin dan ini dapat membasmi kemiskinan negara secara langsung atau tidak langsung.

Perlu diingatkan gaji minimum juga boleh dijadikan satu kaedah keadilan sosial bagi setiap rakyat supaya tidak ditindas oleh majikan-majikan yang hanya mengejar keuntungan tanpa memikirkan kepentingan pekerja-pekerja.

(ii) Pemangkin Budaya Mencari Ilmu

Adakah dengan gaji minimum, semua rakyat Malaysia akan berpuas hati? Mungkin kita boleh jawab "tidak" kepada jawapan tersebut. Gaji minimum perlu ada sistem mekanisme yang lebih baik. Gaji minimum bukan sahaja boleh diamalkan untuk pekerja-pekerja bawahan tetapi ia boleh menjadi mekanisme gaji graduan-graduan kita.

Ramai graduan kita sekarang yang hidup menganggur atau bekerja dengan gaji rendah disebabkan kekurangan pekerjaan yang sesuai dan persaingan yang amat tinggi bagi jawatan atau kerjaya masing-masing.

Disebabkan persaingan ini juga, banyak syarikat di Malaysia menawarkan atau memberikan gaji yang rendah kepada graduan- graduan baru.

Cuba bayangkan jika seseorang itu belajar selama lima tahun untuk ijazah dalam bidang mereka dan kemudian bekerja di suatu syarikat dan mengetahui bahawa gaji yang diberikan kepadanya jauh lebih rendah daripada pekerja yang tidak mempunyai sebarang sijil dan bekerja kurang daripada lima tahun di syarikat tersebut.

Apakah persepsinya sebagai graduan? Adakah ijazahnya itu dihargai? Dan lebih menyedihkan apabila dia diberitahu oleh kawannya yang baru juga tamat pengajian bahawa gajinya (kawan) jauh lebih tinggi di syarikat yang lain.

Kita tidak mempunyai apa-apa garis panduan atau gaji minimum bagi para graduan dan keadaan ini merumitkan sistem sosial di negara ini.

Bukan semua di antara kita yang layak menjadi usahawan dan bukan semua di antara kita yang sanggup melakukan pekerjaan sambilan untuk meningkatkan pendapatan bulanan masing-masing.

Gaji minimum untuk graduan juga perlu untuk merangsang budaya mengejar ilmu bagi masyarakat kita. Ia juga boleh memberi motivasi yang lebih kepada golongan lelaki yang sejak akhir-akhir ini berkurangan bilangannya dalam institusi-institusi pendidikan tempatan.

Secara tidak langsung ia akan meningkatkan peratus masyarakat yang mempunyai ijazah atau kelulusan lebih daripada itu.

Mekanisme gaji minimum untuk pemilik diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah perlu diwujudkan untuk memberi suatu landasan kepada para graduan kita tentang "status" mereka pada masyarakat atau dengan kata lain "kita tahu di mana kita berdiri".

Gaji minimum juga boleh dianjalkan bagi setiap bidang. Contohnya, gaji minimum untuk pemegang ijazah kedoktoran (dicadangkan) RM3,400 dan gaji minimum untuk pemegang ijazah pentadbiran awam pula (cadangan) RM2,900.

Mekanisme anjal ini bertujuan menggalakkan pelajar-pelajar kita belajar dalam bidang-bidang yang tidak popular dan juga untuk memberi fokus yang lebih kepada pekerjaan atau bidang yang tidak mencukupi - contohnya, kekurangan dalam bidang perubatan.

Kadar Yang Munasabah

Gaji minimum setiap pekerja, RM900.

Gaji minimum pemegang diploma, RM1,500.

Gaji minimum ijazah sarjana muda, RM2,000.

Gaji minimum pemegang ijazah RM2,900.

Gaji minimum doktor falsafah, RM6,000.

Kadar-kadar gaji minimum boleh diselaraskan atau dikaji semula setiap tiga atau lima tahun.

Memang tidak boleh dinafikan, gaji minimum boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi dan boleh juga mempercepatkan kadar kenaikan inflasi, tetapi konsep gaji minimum ini juga boleh membasmi kemiskinan, memberi keadilan sosial, mempertingkatkan budaya ilmu dan meningkatkan produktiviti.

Janganlah kita bangga dengan tokoh-tokoh korporat kita yang mempunyai kekayaan berbilion-bilion ringgit atau syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan yang banyak tetapi kita lupa kepada golongan miskin yang hanya inginkan makanan yang mencukupi dan rumah untuk perlindungan.

Rancangan seperti "Bersamamu" di stesen TV3 tidak layak wujud di negara yang kaya dengan hasil bumi, ramai cendekiawan, sistem ekonomi yang teratur dan mempunyai pelbagai teknologi ini.

Kita perlu lihat sosioekonomi negara Jepun yang tidak mementingkan kejayaan individu tetapi lebih mementingkan kejayaan berkumpulan dan hasil syarikat dan negara untuk dikongsi semua.

Julat tangga gaji di Jepun adalah antara yang paling rendah di dunia dan keadaan ini membuatkan Jepun antara negara yang mempunyai individu-individu kelas pertengahan yang paling besar di seluruh dunia (lihat sahaja pelancong-pelancong Jepun di Malaysia yang hampir setiap hari mengunjungi negara kita).

Keuntungan syarikat-syarikat mereka juga kurang (jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat) disebabkan konsep perkongsian hasil ini tetapi ia tidak bermakna syarikat-syarikatnya tidak produktif.

Perlu diingatkan juga bahawa Jepun merupakan negara kedua dari segi pasaran dunia selepas Amerika Syarikat.

Konsep gaji minimum perlu diguna pakai untuk kepentingan masyarakat dari setiap peringkat. Ia juga boleh memberi kelegaan kepada rakyat miskin dan juga memberi kepuasan kepada golongan graduan.

Secara tidak langsung konsep gaji minimum ini juga akan mengurangkan pekerja-pekerja asing kerana gaji yang terendah adalah berpatutan bagi setiap individu dan ini mengurangkan budaya memilih kerja bagi seluruh masyarakat amnya dan para graduan khususnya.

Adalah lebih baik konsep gaji minimum ini dilaksanakan dalam masa terdekat agar boleh diperbaiki secara sistematik pada masa-masa akan datang.

Kita perlu memikirkan masa hadapan sistem sosioekonomi di Malaysia dan konsep gaji minimum ini boleh dianggap sebagai satu penyelesaian yang bijak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS