Saya telah mengemukakan soalan untuk jawapan lisan pada 13 Mei 2008.
Oleh kerana kesuntukan masa bagi jawapan lisan, menteri perumahan dan kerajaan tempatan telah memberi jawapan secara bertulis seperti berikut:
"Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman ahli Yang Berhormat, setiap kemudahan awam di bawah penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah terbuka untuk kegunaan semua pihak dan ini termasuk kepada Ahli Parlimen.
Ia sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap kemudahan yang telah disediakan dapat digunakan secara optimum untuk faedah rakyat. Ahli Parlimen boleh memohon kepada PBT yang berkenaan untuk menggunakan kemudahan tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya pengunaan kemudahan awam tersebut adalah bagi tujuan perjumpaan ataupun perhimpunan yang melibatkan aktiviti penyampaian ceramah, maka pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dihubungi bagi menentukan sama ada permit perlu diperolehi ataupun tidak.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mei 2008"
Dengan itu, penolakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tanpa sebab bagi permohonan untuk menggunakan Padang Seri Kemunting pada 22 Mac dan 10 Mei lalu, permohonan untuk menggunakan kawasan lapang letak kereta di Taman Kerang, Jalan Mahkota, Kuantan adalah melanggar prinsip-prinsip penggunaan kemudahan awam yang diutarakan oleh menteri berkenaan.
Ia mempamerkan bahawa MPK telah bersikap tidak profesional. Juga dikhuatiri kewujudan tangan-tangan yang tersembunyi dalam mengendalikan urusan yang berkaitan pihak Pakatan Rakyat.
Pentadbiran yang dikawal oleh tangan-tangan yang tersembunyi tentu sekali akan hilang wibawanya sebagai institusi yang memberi khidmat kepada rakyat jelata.
Demi kemaslahatan rakyat dan demi menghormati prinsip-prinsip demokrasi, saya mengajak MPK untuk kembali ke landasan yang betul dalam urus tadbir Kuantan.
Juga supaya MPK dapat memberdayakan diri (empowered) serta bertindak bebas tanpa prejudis dalam memberi khidmat kepada rakyat mahupun wakil rakyat di masa hadapan.
Fuziah Salleh merupakan ahli parlimen Kuantan
