Negara kita diakui mempunyai kepelbagaian kaum yang cukup berbeza dengan diakui keunikan dan keindahan kerana kekuatan perpaduan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, pegangan agama, kebudayaan dan lain-lain yang menjadikan antara negara unik di dunia ini.
Dalam sedar ataupun tidak, golongan belia kini merupakan kelompok terbesar dalam populasi masyarakat di Malaysia - ia informasi baik untuk masa depan negara kerana kita mempunyai banyak tenaga, idea serta penggerak muda yang akan meneruskan agenda pembangunan kita.
Menurut perangkaan, 9.8 juta daripada 24 juta rakyat Malaysia berada dalam julat umur antara 15 hingga 40 tahun, dan 46 peratus daripadanya berada dalam lingkungan usia antara 15 hingga 24 tahun.
Memacu golongan pelapis ini menjadi sangat sukar lebih-lebih lagi berhadapan dengan suatu komuniti yang bergelora jiwa serta masih hangat darah mudanya.
Apa yang membimbangkan, sebahagian besar daripada 11.5 juta belia di negara ini didapati suka menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti sendiri dan tidak menyertai sebarang kegiatan sukan atau persatuan.
Jika dirujuk kata-kata profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin, naib canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), jika diukur dalam konteks seharian, pencapaian belia Malaysia boleh dianggap gagal atau diletakkan dalam gred F.
Katanya, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) yang menjalankan kajian mengenainya, mendapati belia di negara ini yang membabitkan diri dalam kegiatan sukan, bersenam dan berpersatuan hanyalah mencatat purata 21 mata.
Beliau berkata, rumusan itu diperolehi dengan menggunakan sampel kebangsaan merangkumi 4,087 responden belia yang disoal selidik, berusia 15 hingga 40 tahun.
Keputusan ini menunjukkan ia merupakan senario yang agak kurang menarik untuk ditatap kerana ia semestinya akan merencatkan pembangunan kendiri dalam kalangan belia dan beliawanis yang menjadi tunjang kepimpinan Negara kelak.
Ia bukan setakat akan melembabkan ataupun mungkin sekali gus akan menyebabkan mereka ini tidak akan dapat mengasah kemahiran serta bakat yang akan menyerlahkan potensi seperti kemahiran kepimpinan dalam berorganisasi, berkomunikasi, skil membuat keputusan, kemahiran sosial dan lain-lain tetapi dibimbangi para belia ini akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti kurang sihat dan gejala tidak bermoral.
Jika dirujuk perangkaan keterlibatan para belia dalam kes-kes seperti penyalahgunaan dadah, rompakan, jenayah, zina, pembuangan anak dan lain-lain, ia cukup membimbangkan dari sehari ke sehari.
Justeru itu, tidak ada masa lagi untuk kita berpeluk tubuh atau hanya melihat senario ini - ia perlu terus dicantas dari akarnya agar generasi pelapis ini tidak layu dalam arus modenisasi dan tidak terus selesa dalam kemewahan.
Pihak kerajaan yang telah banyak mengatur rancangan dan aktiviti untuk para belia ini perlu lebih tegas dalam setiap penganjuran dan keterlibatan para belia agar mereka benar-benar mendapat faedah dan ilmu daripada program-program tersebut dan bukan sekadar penganjuran yang gah di mata sahaja.
Ibu bapa perlulah peka dengan senario terkini serta ancaman kepada para belia ini yang mudah terlibat dengan aktiviti-aktiviti kurang bermoral.
Maka perlunya penekanan dalam aspek spiritual dan keagamaan agar utuh pegangan agama yang akan menjadi pagar yang melindungi daripada perkara-perkara yang jelas haram dan merugikan.
Segalanya perlu dikawal dan pembentukan peribadi muslim itu seharusnya tidak dipandang enteng kerana itulah teras dalam kehidupan yang semakin diabaikan dalam masyarakat.
Para belia dan beliawanis itu sendiri yang perlu mempunyai pendirian dan perlu lebih proaktif untuk mendapatkan ilmu serta pengalaman dalam menuju alam yang lebih dewasa.
Jangan terlalu ikutkan hati dan pastikan kawan-kawan yang berada di sekeliling kita ini terdiri mereka yang mampu membimbing ke jalan yang benar.
Mereka perlu peka dengan aktiviti serta perancangan yang sudah sedia diatur untuk mereka oleh pihak kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan, contohnya Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), sebuah gerakan mahasiswa kontemporari yang mempunyai banyak program pembentukan diri, sahsiah dan kepimpinan khusus bagi pada mahasiswa dan belia dalam usaha membentuk peribadi muslim dan meningkatkan kualiti diri sejajar dengan tuntutan agama, bangsa dan negara.
Adalah diharapkan semua pihak akan terus berganding bahu membentuk belia yang merupakan aset penting negara.
Masyarakat tidak cukup hanya sekadar melihat tetapi perlu bersama-sama rasa akan tanggungjawab menegur serta menunjuk arah untuk peningkatan kualiti diri belia dan beliawanis negara kita.
El-Amen MDS dari Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma)
