Isu pemilikan Pulau Batu Putih yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Singapura akhirnya terjawab.
Kesediaan dua negara itu membawa tuntutan bertindih ke atas pulau tersebut, Middle Rock dan South Ledge ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menarik perhatian seluruh rakyat kedua-dua buah negara sejak beberapa tahun lalu.
Pada 23 Mei lalu, seluruh rakyat Malaysia tertumpu di kaca televisyen bagi menentukan isu tuntutan hak ke atas pulau tersebut. Yang pasti, rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa keputusan mahkamah berhubung tuntutan Pulau Batu Putih memihak kepada Singapura.
Kejatuhan pulau tersebut ke tangan Singapura bukan sahaja ditangisi oleh rakyat Johor, malah seluruh rakyat Malaysia amnya.
Bermula dari Perlis, sehingga ke Sabah dan Sarawak, rata-rata rakyat Malaysia berdukacita atas keputusan tersebut.
Namun, walau mengalir "air mata darah" sekalipun, pulau itu kini milik Singapura - itu hakikat pahit yang harus ditelan.
Sebenarnya pulau tersebut mempunyai makna dalam jiwa rakyat kerana ia mempunyai nilai dari sudut sejarah dan kedaulatan.
Perhubungan kesultanan Melayu Johor dengan Orang Laut di pulau tersebut dalam pelbagai aktiviti seperti perikanan satu ketika dahulu memberi mesej yang jelas bahawa kedaulatan kesultanan Melayu Johor telah lama bertapak di pulau tersebut.
Bukan itu sahaja, perairan Pulau Batu Putih juga merupakan tempat yang strategik bagi laluan kapal-kapal yang melalui selat Johor.
Ruang udaranya mampu digunakan untuk tujuan keselamatan. Tambahan pula ia mampu menjadi tempat persinggahan nelayan-nelayan Malaysia untuk menangkap ikan. Secara tidak langsung, pulau ini mempunyai nilai yang begitu besar dari sudut ekonomi dan menjamin keselamatan negara.
Secara amnya, keputusan ICJ berhubung tuntutan Malaysia ke atas tiga pulau kecil itu bukanah satu keputusan yang boleh kita anggap sebagai "situasi menang-menang".
Hakikatnya ketiga-tiganya sememangnya hak Malaysia. Kehilangan Batu Putih merupakan satu kerugian yang besar buat kita.
Namun, pujian dan penghargaan harus diberikan kepada semua pihak yang terlibat kerana bertungkus-lumus membuat persiapan sebelum dan sewaktu berlangsungnya perbicaraan tersebut.
Justeru, rakyat mencadangkan agar peristiwa ini didokumentasikan untuk tatapan generasi akan datang. Peristiwa yang memberi signifikan yang besar terhadap seluruh rakyat Malaysia ini seharusnya dimuatkan dalam buku sejarah negara.
Cadangan ini bagi memastikan generasi akan datang dapat mengambil pengajaran, menanam semangat cintakan tanah air dan seterusnya peka dalam isu mempertahankan kedaulatan negara.
Soal kedaulatan negara merupakan soal yang tiada kompromi.
