Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu pakaian pelajar perempuan dianggap "seksi" yang digembar-gemburkan seharusnya dilihat dari perspektif yang positif.

Saya perhatikan cadangan tersebut bukan semata- mata untuk kepentingan peribadi, bahkan ia melibatkan maruah seluruh wanita khususnya dalam kalangan pelajar perempuan Islam.

Saya yakin dan percaya pemimipin persatuan pelajar itu pastinya sudah melihat dan menilai aspek pemakaian tersebut dari sudut baik buruknya sebelum berani mengeluarkan kenyataan tersebut.

Pandangan pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu kemudiannya menjadi kontroversi memandangkan ia agak kontra dengan kebanyakan kotak pemikiran masyarakat Malaysia yang menganggap ia tidak lebih hanya sekadar perkara picisan yang tidak wajar diberikan perhatian.

Namun kita yang mengaku Islam harus barani mempertahankan pandangan tersebut di samping memberi cadangan membina bagi mengukuhkan lagi kenyataan tersebut.

Saya perhatikan respons pembaca kebanyakannya datang dari mereka yang bukan Islam. Ia tidak wajar berlaku kerana ia hanya melibatkan isu umat Islam.

Namun apa yang lebih mendukacitakan, ada juga segelintir umat Islam yang turut sama membantah cadangan tersebut.

Kita harus melihat dari sudut yang positif dan mengkaji sejauh mana baju sekolah tersebut mengundang serta menjadi salah satu faktor penggalak keruntuhan akhlak remaja.

Cadangan saya:

(1) menilai kembali kualiti kain yang digunakan dengan menyelaraskan semua jenis kain warna putih bagi semua sekolah di Malaysia, atau

(2) menetapkan syarat pemakaian tudung, paling minimum menutup dada, atau

(3) PKPIM harus mencadangkan model pakaian sekolah yang sesuai andai dua cadangan di atas sukar dilaksanakan.

Kesemua cadangan di atas sejajar dengan tuntutan agama dari segi syarat berpakaian yang seharusnya tebal sekurang-kurangnya tidak menampakkan susuk tubuh dan longgar serta warna yang tidak menarik perhatian lelaki.

Pelaksanaannya harus secara berperingkat-peringkat kerana sudah pastinya ia melibatkan perbelanjaan besar serta sesuai dengan tuntunan agama yang menghendaki agar sesuatu perkara itu tidak dilakukan dengan tergesa-gesa.

Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Kita mampu melaksanakannya andai kata kita benar-benar memahami seluruh tuntutan agama terutamanya dari aspek penjagaan aurat wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS