Saya salah seorang pendidik yang menetap di kuarters institusi pendidikan Tasek Apong, Sungai Petani.
Saya ingin membangkitkan masalah akibat tindakan pejabat pendidikan daerah Kuala Muda, Jabatan Pendidikan Negeri dan Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (Ipsah) untuk mengambil alih kuarters tersebut.
Kuarters itu yang berpenghuni ingin dijadikan asrama Ipsah dan pihak-pihak itu telah memberi arahan (tanpa notis rasmi, setakat e-mel ini ditulis) supaya pendidik-pendidik yang tinggal di kuarters tersebut mengosongkan dan keluar dari unit kediaman masing-masing.
Kami berasa kecewa dengan arahan tersebut yang menolak sama sekali pandangan yang telah kami utarakan kepada pihak berkenaan semalam di institut perguruan tersebut.
Beberapa kemusykilan timbul:
(1) arahan dikeluarkan tanpa notis rasmi dan sering pula bertukar-tukar bentuk.
(2) kewajaran kuarters yang digunakan oleh guru dijadikan asrama.
(3) mengarahkan penghuni keluar tanpa mengambil kira kebajikan dan kesusahan yang bakal dihadapi oleh keluarga mereka.
(4) rasional sebenar arahan tersebut yang dibuat tanpa mempedulikan pandangan para pendidik yang telah berkhidmat.
Kami tidak menolak kehadiran pelajar-pelajar Ipsah untuk menetap di kuarters Tasek Apong, malah kami mengalu-alukan kehadiran adik-adik yang bakal sama-sama berjuang untuk membimbing anak bangsa.
Cuma, kami meminta supaya tidak diarahkan keluar dari kuarters tersebut.
