Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Sambutan Hari Kebebasan Akhbar telah diselubungi oleh awan hitam apabila desas-desus bahawa Star Publication Bhd yang dikuasai oleh Huaren Holdings Sdn Bhd bakal menjadi pemilik baru dua akhbar Cina utama hampir menjadi kenyataan sebagaimana yang telah dilaporkan oleh akhbar mingguan The Edge .

Ini bermakna MCA yang memiliki Huaren Holding akan turut menguasai dua akhbar Cina berkenaan, selain daripada akhbar Inggeris Star . The Edge memetik kenyataan sesetengah pemerhati bahawa transaksi berkaitan memang bermotif politik.

Walaupun kononnya MCA mewakili masyarakat Tionghua, tetapi ia kekurangan media massa Cina untuk meresap ke dalam masyarakat itu setelah akhbar Cina kawalannya Malayan Thung Pau Daily ditutup beberapa tahun lepas gara-gara menghadapi kerugian kewangan.

Transaksi berkenaan jika menjadi kenyataan juga bermakna kerajaan yang selama ini tidak mempunyai sebarang pengaruh langsung terhadap mana-mana akhbar Cina akan bertambah pengaruhnya terhadap orang ramai, selain daripada akhbar Melayu dan Inggeris yang memang kini berhubungan rapat dengan kerajaan.

Sekarang ini, MCA menguasai akhbar The Star manakala Umno menguasai kumpulan Utusan Melayu Bhd dan New Straits Times Holdings Bhd serta TV3. Justeru MIC menguasai akhbar Tamil Nesan .

Nanyang dan China Press selama ini memang merupakan pesaing hebat kepada Sin Chew Jit Poh yang laporannya dikatakan lebih bebas. Ini disebabkan Sin Chew dimiliki oleh seorang peniaga yang berasal dari negeri Sarawak yang bebas daripada kongkongan sama ada Umno, MCA atau MIC yang kini menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN), tetapi mereka sedikitpun tidak diberikan ruang dan habuan politik mereka di negeri Kenyalang itu.

Tidak lama dahulu, Nanyang dan China Press juga telah kalah dalam satu kes mahkamah yang dibawa oleh mereka terhadap Sin Chew . Mereka memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah tegahan supaya Sin Chew tidak lagi menyiarkan perangkaan yang memperlihatkan Sin Chew sebagai akhbar Cina yang paling laris di Malaysia dengan jauh mendahului akhbar-akhbar lain dari segi bilangan pembaca.

Sejak pertikaian kes mahkamah itu bermula, Nanyang dan China Press telah berpakat dengan tidak membenarkan para penjual akhbar Cina edisi malam yang menjual akhbar-akhbar mereka daripada menjual akhbar-akhbar Cina lain. Oleh demikian, sehingga hari ini kita masih boleh melihat Nanyang dan China Press bagi edisi malam dijual secara berasingan daripada akhbar-akhbar Cina lain.

Bagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan dari segi penjualan edisi malam, Nanyang dan khususnya China Press lebih laku. Ini tidak lain tidak bukan adalah angkara berita "empat nombor ekor" yang memang menjadi kegemaran golongan pertengahan bawahan masyarakat Tionghua.

Lanjutan daripada kekalahan kes itu, harga saham Nanyang Press Holding telah kelihatan mula menurun buat beberapa ketika, tetapi pada hujung bulan lalu, sahamnya meloncat dari sekitar RM3.80 sehingga RM4.80 ekoran desas-desus bahawa ia bakal dibeli oleh Star Publications Bhd.

Nanyang Press Holdings Bhd merupakan penerbit kepada kedua-dua akhbar Nanyang dan China Press . Bagaimanapun, kebanyakan keuntungan syarikat itu adalah merupakan sumbangan China Press yang kebanyakan pembacanya terdiri daripada golongan pertengahan bawahan yang berpendapatan sederhana dan bukan profesional.

Ini menunjukkan Sin Chew sebenarnya telah merebut kebanyakan pembaca Nanyang yang terdiri daripada golongan pertengahan dan profesional yang bergaji tinggi yang akibatnya mengundang kerugian terhadap hasil perniagaan Nanyang , sementara China Press mengekalkan bilangan pembaca tradisinya.

Oleh kerana, golongan profesional merupakan anggota elit yang berpengaruh terhadap masyarakat, maka MCA dengan memiliki kedua-dua akhbar Nanyang dan China Press setidak-tidaknya akan dapat menusuk ke dalam sebahagian daripada masyarakat elit yang berpengaruh, selain daripada golongan rakyat biasa yang jarang mempunyai akses kepada Internet.

Jadi, jika MCA berjaya memiliki kedua-dua akhbar Cina tersebut, buruk padahnyanya terhadap kebebasan akhbar di negara kita. Ini bermakna dua lagi akhbar utama tempatan dibaham oleh kerajaan, sekaligus menjadi jurucakap kerajaan yang pada kebiasaannya berkecenderungan menenggelami suara rakyat dan para pembangkangnya.

Dari segi yang lain tindakan MCA mahu mengambilalih dua buah akhbar Cina boleh dilihat sebagai satu lagi tindakan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk mengawal media setelah Umno mengawal sepenuhnya akhbar Melayu. Ini merupakan langkah bagi orang yang tersepit berikutan dari laporan akhbar Cina yang agak terbuka.

Bagaimanapun, adalah dipercayai pembaca akhbar Cina lebih bijak bertindak sebagaimana yang ditunjukkan dalam prestasi kedua-dua akhbar Cina berkenaan yang semakin merosot dan gagal mendapat sambutan para pembaca muda dan profesional.

Oleh demikian, saya berharap wartawan di kedua-dua akhbar itu dapat mencontohi tauladan Said Zahari - Tokoh Kebebasan Media 2001 - yang pernah berusaha menghalang Umno mengambilalih Utusan Melayu ketika beliau menjadi ketua pengarangnya - sekaligus membantah pengambilan oleh MCA kerana langkah pengambilan itu sudah pasti akan menjejaskan kredibiliti akhbar dan kerjaya mereka nanti sebagaimana nasib malang yang menimpa Malayan Thung Pau yang terpaksa ditutup itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS