Saya merujuk berita bas tersadai Bas: Anak PM import dari China? (10 Jun).
Saya kurang bersetuju dengan pendapat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa bas-bas berkenaan wajar diperbaiki semula untuk digunakan sebagai bas RapidKL yang baru.
Dan saya berpendapat kegagalan pihak pengurusan konsesi bas yang lepas (ParkMay dan Intrakota) melakukan penyelenggaraan berkala dan penyesuaian bas mengikut kesesuaian perjalanan menjadi punca utama bas-bas berkenaan tidak sesuai lagi untuk berada di jalan raya.
Gambar bas-bas Intrakota dan Park May bercat merah, putih, kelabu dan biru hanya mengingatkan saya – sebagai bekas pengguna perkhidmatan bas terbabit – beberapa pengalaman dan insiden yang tidak menyenangkan semenjak saya di bangku sekolah lagi.
Antaranya, rasa tidak selesa penumpang kerana kurang penyelenggaraan, kesesakan lalulintas akibat bas-bas yang rosak di tepi lebuhraya dengan penutup enjinnya terbuka, dan pencemaran bunyi kepada penduduk taman perumahan disebabkan enjin bas yang berbunyi seakan-akan roket sedang dilancarkan ke angkasa setiap kali bas bergerak setelah mengambil penumpang.
Kebanyakan bas ini bukanlah berkualiti rendah ketika baru dibeli, malah kebanyakan di antaranya diimport dan memiliki platform berlantai rendah yang bersesuaian dengan kehendak pengguna bandar, golongan tua dan kurang upaya yang memerlukan mobiliti.
Namun, kerana kurangnya penyelenggaraan dan pembaikpulihan susulan, skru-skru yang memegang kerusi, besi penyokong bumbung yang disambung pada besi tempat penumpang berpegang dan lantai bas, dan penyalur pendingin hawa menjadi semakin longgar sejajar dengan penurunan ketahanan badan bas terbabit.
Enjin bas yang sudah lanjut usianya turut bergegar, dan apabila bas-bas meluncur laju atas jalan berkonkrit, membelok atau melalui jalan berlopak, penumpang-penumpang biasanya merasakan goncangan seolah-olah terdapat mesin pengisar gergasi tersorok di bawah lantai bas!
Sesebuah kenderaan berat yang tidak diselenggara dengan sempurna akan lebih pendek tempoh akhir hayatnya, dan semakin sukar untuk dibaikpulih. Realitinya, majoriti kenderaan berat yang dibaikpulih, terutamanya bas ekspres, memiliki rekod keselamatan dan keselesaan yang amat mengecewakan.
Bas-bas yang memang sudah habis tempoh hayat operasinya amatlah tidak sesuai untuk dibaikpulih kerana tiada siapa yang dapat memberi jaminan bahawa spesifikasi badan bas dan ciri-ciri keselematannya akan terpelihara seperti bas baru keluar dari kilang.
Terlampau banyak bas ekspres yang meluncur laju di lebuhraya hanya tersergam indah dari pandangan luaran, namun binaan dalamannya langsung tidak mengikuti piawaian keselamatan antarabangsa.
Kita boleh melihat sendiri betapa banyaknya kes-kes kemalangan maut melibatkan bas yang dapat dielakkan apabila struktur penyambungan bumbung amat rapuh.
Perkara yang sama dapat diperkatakan untuk kenderaan berat lain, dan hanya tuhan saja yang tahu berapa ramainya jiwa yang telah terkorban dalam kemalangan melibatkan lori-lori dan bas-bas yang diperbaiki semula.
Keadaan ini semua berlaku kerana ketiadaan piawaian keselamatan kenderaan diperbaiki semula, penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang rapuh dan ketidaktelusan sistem penyelenggaraan kenderaan berat di negara ini.
Maka, saya tidak hairan sekiranya bas-bas terbabit dibiarkan tersadai dan demi keselamatan dan keselesaan orang awam, lebih elok bas-bas berkenaan dibuat besi buruk sahaja daripada diubahsuai menjadi bas-bas yang dibaikpulih.
RapidKL perlu belajar daripada kesilapan pemegang konsesi perkhidmatan pengangkutan awam yang lalu. Penyelenggaraan perlu dilaksanakan secara berkala, dan bas yang digunakan hendaklah bersuaian dengan gaya perjalanan dan kekerapan berhenti.
Seperti contoh, banyak bas RapidKL yang memberi perkhidmatan antara bandar (utama) menggunakan jenis bas yang sama dengan bas dalam bandar (tempatan).
Bas di dalam bandar lebih sesuai dilengkapi ruang berdiri yang secukupnya, pintu yang luas dan suspensi yang keras bagi menampung gaya pengendalian dan pemanduan yang lasak serta banyaknya turun-naik penumpang.
Namun bas dalam bandar amat tidak sesuai dengan keperluan pengguna bas antara bandar, kerana tidak ramai yang sanggup berdiri dan duduk menegak (disebabkan kerusi plastik yang keras) dalam keadaan terhoyong-hayang di dalam bas sepanjang perjalanan selama berpuluh-puluh minit lamanya (atau, berjam-jam).
Kajian kesihatan telah menunjukkan posisi duduk menegak yang lama menjejaskan fungsi tulang belakang dalam jangka masa panjang.
