Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan keputusan menteri pengangkutan Datuk Ong Tee Keat yang telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menangguhkan operasi pemeriksaan cermin gelap kenderaan yang sepatutnya diadakan secara besar-besaran di seluruh negara bermula 1 Julai lalu.

Alasan di sebalik penangguhan operasi pemeriksaan cermin gelap ini tidak boleh diterima dan persoalan utamanya, mengapa keputusan untuk mengkaji cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak berkaitan cermin gelap tidak dilaksanakan dengan segera dan diberikan keutamaan dalam mengeluarkan satu garis panduan atau peraturan yang mengharamkan penggunaan cermin gelap ini.

Tinjauan yang dijalankan oleh CAP mendapati bahawa kereta persendiriran di Pulau Pinang bercermin gelap secara keterlaluan dan CAP percaya bahawa kebanyakan pemandu-pemandu ini telah diyakinkan oleh pihak kedai aksesori kereta untuk memasang cermin gelap memandangkan tiada satu peraturan atau garis panduan spesifik dalam pemasangan ini.

Tingkap kereta perlu untuk melindungi pemandu dan penumpang daripada pancaran matahari terik dan sememangnya berfungsi untuk menapis sinaran ultraungu untuk menjadikan pemanduan lebih selesa.

Dakwaan beberapa badan bukan kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam industri aksesori kereta bahawa pemasangan cermin gelap sejajar dengan masalah pemanasan global tidak boleh diterima akal langsung.

Hakikatnya, bukan soal pemanasan global atau cuaca yang sepatutnya dikaji dalam isu ini, sebaliknya isu keselamatan dan bahaya yang bakal dihadapi sekiranya Kementerian Pengangkutan dan JPJ terus mencari alasan menangguhkan pengharaman cermin gelap.

Ini kerana kenderaan yang bercermin gelap lebih mudah mengalami perlanggaran di bahagian belakang. Tingkap bercermin gelap cenderung menghalang pandangan keadaan lalu lintas kenderaan di belakang.

Kenderaan yang mengekori tidak dapat menjangkakan halangan di jalan raya yang berlaku, justeru lambat bertindak dalam keadaan yang berbahaya.

Bawah Akta Kenderaan Bermotor 1991 menetapkan pemilik kenderaan bermotor memiliki kadar ketelusan cermin gelap iaitu 70 peratus telus (hadapan) dan 50 peratus gelap (cermin tingkap belakang dan tepi).

Pada masa kini hanya kereta yang diimport dan kereta mewah sahaja yang diwajibkan melalui pemeriksaan cermin gelap oleh pihak Puspakom sebelum pendaftaran dan CAP menggesa agar kementerian dan JPJ melaksanakan peraturan sedemikian melibatkan kenderaan tempatan dengan segera.

CAP menyeru agar Kementerian Pengangkutan tidak tunduk kepada desakan dan lobi oleh industri aksesori kenderaan yang sememangnya akan menerima tempias kuat sekiranya kementerian dan JPJ melaksanakan operasi pemeriksaan cermin gelap di seluruh negara.

SM Mohamed Idris, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS