"Kami mendesak Dr Anuar Zaini meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UM dengan serta merta."
Menarik sungguh desakan Puteri Umno. Dan hari ini bergema pula pelbagai kecaman dan andaian serta tuduhan liar daripada para pemimpin kerajaan yang semuanya membawa maksud: "mahasiswa yang membakar Dewan Tunku Canselor UM"!
Saya nampak ia satu lagi peranan tidak bermoral yang telah dimainkan oleh para pemimpin negara. Sebelum apa-apa berlaku, sudah dikeluarkan satu decree bahawa yang menyebabkan berlakunya kebakaran di DTC ialah khianat daripada mahasiswa!
Dan ia dimainkan sepenuhnya oleh pihak media kononnya sebagai pejuang - jogho - isu! Lebih malang, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan selamba menyebut dengan maksud mahasiswalah yang membakar DTC kerana katanya, "Mungkin dewan itu pada pukul 3 pagi berasa hendak membakar dirinya sendiri, maka diapun terbakar!" Kata-kata yang memberi maksud tidak ada punca lain dalam kebakaran itu, hanya satu sahaja: sengaja dibakar oleh mahasiswa!
Sementara pihak bomba dan jabatan kimia menguji sampel dan menyiasat secara terperinci punca kejadian tersebut, semua pihak sudah menuding jari bahawa mahasiswalah yang membakar DTC.
Barang diingat bahawa ini Malaysia, bukan Indonesia! Mahasiswa di sini ialah mahasiswa Universiti Malaya, bukan mahasiswa Universiti Trisakti!
Semua pihak sepatutnya berpendirian seperti Timbalan Perdana Menteri, menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan terperinci. Dan menegah diri masing-masing daripada memberi komen tanpa mengetahui punca sebenar.
Sehingga kini, tiada punca atau laporan awal diberitahu oleh pihak polis atau bomba. Bagaimana pula bekas Ketua Menteri Melaka boleh mendapat tahu mahasiswa UM yang membakar DTC dan memberi komennya? Kalau begitu cekapnya beliau, bolehlah dia mengambil tugas Ketua Polis Negara!
Sesungguhnya kejadian kebakaran DTC amat menyedihkan semua pihak, terutama mahasiswa yang akan menerima ijazah masing-masing pada Ogos ini.
Namun hanya dengan kewujudan risalah menyeru supaya sama-sama mengadakan demonstrasi pada hari Sabtu dan Ahad ini, menuding jari kepada mahasiswa sebagai pengkhianat yang membakar dewan adalah satu tuduhan yang berat dan langsung tidak berasas!
Diharapkan selepas ini jika terbukti berlaku litar pintas kepada bangunan 'tua' itu, bolehlah mana-mana mahasiswa menyaman mereka yang telah awal-awal lagi menyatakan ia perbuatan mahasiswa ke mahkamah.
Mungkin Cik Puteri Azalina boleh menjelaskan kata-katanya - "Kebakaran di DTC pada awal pagi ini juga sepatutnya tidak berlaku dan dapat dielakkan jika pihak keselamatan UM menjalankan tugasnya. Ia ada hubungan dengan kedatangan Perdana Menteri untuk memberi ucapan di dewan tersebut" - kepada mahkamah.
