Most Read
Most Commented
Read more like this

Jika kita berpeluang mengkaji sistem politik bagi negara dunia pertama, maka kita akan mendapati majoritinya mengamalkan sistem dua parti di mana kedua-kedua parti politik mempunyai peluang seimbang untuk memenangi pilihanraya.

Amerika Syarikat merupakan contoh terbaik dalam mengamalkan sistem dua parti ini. Sudah menjadi kebiasaan bagi parti Democrat dan parti Republican untuk bergilir-gilir menerajui tampuk pemerintahan Amerika kerana faktor keseimbangan peluang sebagaimana yang disebutkan tadi.

Saya berpendapat sistem dua parti dapat membawa kebaikan kepada rakyat kerana ianya akan mewujudkan 'checks and balances' di dalam pentadbiran kerajaan kerana kebiasaannya parti yang memenangi pilihanraya hanya akan menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, maka ia akan menjadikan parti yang kalah dapat bertindak sebagai pembangkang yang kuat bagi mengawal kerajaan agar telus di dalam pentadbiran serta tidak boleh meminda perlembagaan negara dengan sesuka hati tanpa memperolehi persetujuan dari parti pembangkang.

Dengan kata lain, pembangkang dapat memberikan peranan yang begitu besar dan bermakna di dalam sistem tersebut.

Di samping itu, dengan kewujudan pentadbiran kerajaan yang telus membawa kepada impak yang tidak sedikit kepada ekonomi negara pengamal sistem dua parti, seperti peluang untuk menghasilkan pelaburan terus dari luar negara yang besar kerana pelabur mengambil berat status bersih rasuah sesebuah negara itu sebelum melabur.

Dalam konteks Malaysia, sistem dua parti boleh dilihat sebagai jalan terbaik untuk meneruskan pembangunan politik yang telah dilalui oleh negara ini. Sistem ini dapat menawarkan kebebasan memilih yang paling tinggi kepada warganegara dan seterusnya mengelakkan negara dari dikuasai secara mutlak oleh mana-mana pihak.

Saya mendapati antara halangan ke arah kelahiran sistem ini ialah sifat perkauman yang masih menebal, kefahaman agama yang sempit dan kedaerahan. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum perlu toleran terhadap perbezaan di antara mereka di mana cara terbaik adalah melalui pembudayaan, dialog-dialog dalam bentuk intra dan inter parti, agama, budaya, dan bahasa.

Isu hangat yang melanda masyarakat sekarang seperti konsep Negara Islam boleh diperbincangkan dan diperdebatkan untuk difahami secara jelas dan mendalam akan kebaikannya oleh segenap lapisan masyarakat.

Dalam menjayakan sistem dua parti ini, Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah perlu membuka ruang demokrasi dengan lebih luas seperti antara lain merujuk kepada Suruhanjaya Pilihanraya yang telus dan bebas yang dipertanggungjawabkan terus di bawah Parlimen, proses pilihanraya yang adil dan bebas, sistem kehakiman yang juga bebas dan adil, pegawai perkhidmatan awam yang tidak memihak dan media massa yang bebas.

Seterusnya sebagai parti pemerintah yang sudah lama berkuasa, BN wajar menunjukkan sikap matang dan terbuka untuk menerima budaya bahawa pengundi mempunyai kuasa mutlak di dalam menentukan parti mana yang akan dipilih tanpa mengenakan sebarang ugutan kepada mereka.

Manakala di pihak Barisan Alternatif (BA) pula perlu membuktikan tanggapan umum sekarang bahawa pakatan mereka hanyalah bersifat 'a marriage of convenience' itu tidak tepat dengan melalui bukti secara praktikal. Pertelingkahan terbuka sesama pemimpin di dalam BA perlulah dihentikan di mana ia sewajarnya diselesaikan di meja rundingan sebagaimana yang diamalkan oleh BN.

Manifesto Bersama BA dirasakan mampu diperbaiki lagi dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan terbaru negara. Kerjasama BA juga mesti dimantapkan sehingga ke peringkat akar umbi di mana ahli-ahli di bawah dapat bekerjasama dalam mengadakan pelbagai program untuk rakyat. Seterusnya, kewujudan satu simbol sahaja yang mewakili BA khususnya di dalam setiap pilihanraya dirasakan boleh meningkatkan semangat perpaduan sesama parti komponen di mana BA diutamakan dahulu berbanding partinya sendiri. Satu lagi cabaran bagi BA ialah kemampuannya menarik parti-parti pembangkang lain sama ada berpusat di Semenanjung bahkan di Sabah dan Sarawak untuk menyertainya sebelum pilihanraya umum depan.

Harapan besar saya dengan kewujudan sistem dua parti di Malaysia, ia dapat meningkatkan tahap kematangan pengundi kita supaya berani membuat perubahan di dalam pilihanraya kerana mereka dibentangkan dua pilihan utama yang masing-masing layak memerintah mereka.

Dengan kematangan pengundi ini Malaysia pasti akan bertambah maju kerana parti pemerintah akan lebih serius mentadbir dan menjaga khazanah negara supaya rakyat sudi lagi untuk memilih mereka untuk penggal berikutnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS