Saya merujuk kepada surat tulisan Bistari Ibrahim bertajuk 'Kereta Malaysia anak tirikan pencipta tempatan' (Julai 26). Seperti yang beliau jangkakan, pembaca seperti saya amat terkejut dengan kenyataan beliau. Habis saja membaca surat beliau, saya tidak tahu sama ada hendak tersenyum gembira di atas kejayaan anak Malaysia atau bersedih atas kejahilan anak bangsa memahami keadaan yang berlaku di sekitar kita.
Persoalan pokok yang hendak saya timbulkan disini ialah mengenai kesahihan cerita tersebut. Beberapa tahun lepas saya ada melihat sendiri sebuah kereta sport 'ciptaan' rakyat tempatan yang disimpan didalam sebuah bangunan berdekatan dengan Istana Lama Seri Menanti. Saya kurang pasti sama ada kereta tersebut yang dimaksudkan oleh penulis.
Untuk makluman pembaca, kereta jenis Range Rover 4.5 buatan British yang berkuasa 4,500 cc berharga lebih kurang RM700,000. Kalaulah benar ada anak Malaysia yang berjaya mencipta kereta berkuasa 12,000 cc dengan kos hanya RM28,000 maka ini adalah satu 'engineering breakthrough' dan kejayaan yang amat cemerlang. Memang tidak mustahil, tetapi amat sukar untuk dipercayai.
Saya juga mendapati tulisan penulis mempunyai berbagai kenyataan yang meragukan dan nampak jelas diputarbelitkan dengan tujuan mencari peluang memburuk-burukkan kerajaan. Untuk pengetahuan, JPJ tidak mempunyai kuasa mendaftar hakcipta sesiapa pun. JPJ ialah badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan-urusan perlesenan dan permit pengangkutan.
Persoalan selanjutnya, apakah kena-mengena perkara ini dengan MITI dan Rafidah Aziz? Mereka bertanggung jawab memajukan perdagangan antarabangsa Malaysia dengan mencari pasaran-pasaran baru di luar negara. Apakah Rafidah dan MITI menghalang pencipta kereta tersebut daripada megekspot kereta buatannya ke luar negera?
Surat tersebut juga memperlihatkan kurangnya pemahaman penulis mengenai perkara-perkara asas berkaitan dengan perniagaan. Pengenaan cukai ke atas barangan kilang yang dijual bukanlah perkara baru ataupun perkara yang dibuat oleh kerajaan secara sembunyi-sembunyi. Cukai ini dikenali sebagai 'sales tax' dan dikutip oleh Jabatan Kastam dan Eksais. Cukai jalan dan insuran juga bukanlah sesuatu yang baru. Cukai-cukai ini dikutip sebagai pendapatan negara dan bukannya dikutip untuk diberikan kepada Rafidah Aziz atau mana-mana kroni.
Mengenai soal sama ada seseorang itu mampu atau tidak memiliki kereta, itu adalah terpulang kepada pengguna itu sendiri. Semua orang tahu bahawa "langit tidak selalu cerah", oleh yang demikian seseorang itu janganlah membeli kereta kalau tidak mampu membeli kereta. Kerajaan tidak pernah memaksa mana-mana pihak pun untuk membeli kereta Proton.
Pendapat penulis bahawa kereta-kereta buatan Malaysia adalah mahal dan kurang kualiti adalah sesuatu yang tidak tepat. Kereta-kereta buatan Malaysia adalah yang paling murah setakat ini. Dari segi kualiti, jika penulis rajin membaca berita mengenai kereta, penulis mungkin akan tahu bahawa Proton adalah salah satu jenama kereta yang popular di Britain disebabkan kualitinya. Berikut ialah sebahagian daripada komen yang tersiar didalam akbar terkemuka British The Mail on Sunday keluaran 6hb Februari 2000:
"The Peugeot 206GTi is the straight line winner thanks to a sweeter, more powerful engine, but when it comes to cornering, precision braking, steering feel and sheer driver enjoyment, the more focused Proton GTi is in a different class altogether".
Mengenai kenyataan penulis bahawa kereta Proton dijual lebih murah diluar negeri, itu adalah benar terutamanya untuk beberapa model Proton seperti Impian. Walau bagaimanapun itu adalah strategi pemasaran yang mana agak kompleks dan panjang jika dibincangkan disini. Sebagai contoh, ramai rakyat Jepun membeli barangan elektronik buatan Jepun ketika berada di luar Jepun kerana harganya lebih murah bebanding dengan harga jualan di Jepun.
Malaysia adalah di antara negara sedang membangun yang berjaya membuat keretanya sendiri ("membuat" bukan setakat "memasang"). Kita seharuslah berbangga dengan kejayaan ini dan bukannya menggunakan alasan ini untuk menyalahkan kerajaan dan membuat tuduhan yang keterlaluan.
