Saya merujuk kepada tulisan Mohd Fauzi mengenai 'kejayaan' Proton berjudul: 'Kejayaan negara dan Proton membanggakan' (31 Julai).
Mungkin Mohd Fauzi bangga oleh kerana beliau melihat kereta Proton di merata tempat di seluruh negara. Dengan mengguna kriteria itu, beliau membuat kesimpulan bahawa Proton telah berjaya.
Sebenarnya, Proton selama ini bergantung kepada pengurangan cukai dan subsidi yang diberi oleh kerajaan. Kalaulah kita membuat pengiraan tentang jumlah subsidi dari awal hingga sekarang, tentulah kerajaan (dengan menggunakan duit rakyat) telah mebelanjakan berbilion ringgit untuk memastikan Proton dapat bersaing dengan kereta berjenama lain.
Ini adalah kos sebenar. Ditambah pula dengan kos untuk memberi laluan kepada produk dari Thailand, jumlahnya amat menakutkan. Ini adalah kerana Thailand berpendapat bahawa komponennya tidak diberi layanan yang sama apabila AFTA dilaksanakan dan negara jiran itu mendesak Malaysia membayar gantirugi.
Langkah kerajaan untuk memohon keistimewaan terhadap Proton daripada rakan Asean yang lain menunjukkan seolah-olah hanya Proton yang terjejas oleh krisis ekonomi yang melanda Asia pada 1997.
Satu lagi perkara yang saya pandang berat ialah kelengkapan ciri ciri keselamatan untuk model eksportnya seperti ABS , brek disk 4-roda dan lain-lain, tetapi untuk rakyat sendiri, tidak dilengkapkan.
Saya tidak kisah kalau radio atau penukar CD atau warna metallic hanya untuk model eksport, tetapi langkah Proton ini seolah-olah menghargai pembeli lebih daripada pengguna tempatan.
Masalah sebenarnya ialah Proton terlalu 'diberi muka' dan berasa dirinya sentiasa betul. Jadi kalau ia bersalah sekali pun tidak siapa berani menegur. Ini bukan salah Proton sendiri, tetapi pihak yang sepatutnya membimbing dan memantau projek gergasi ini.
Proton bagaikan anak yang tidak dididik dengan betul. Kalau ditegur sikit, terus pergi merayu, dan yang kena marah ialah si penegur tadi!
Itulah hakikatnya. Saya jangka, Proton sampai bila-bilapun tidak boleh berdikari, dengan struktur dan tahap teknologinya sekarang.
Kita semua harus patriotik dan bangga dengan barangan kita, tetapi kita juga perlu lebih realistik dan melihat dari segi globalisasi dan pasaran dunia.
Kita tidak mahu anak cucu kita dibeban dengan pengeluaran subsidi berpanjangan. Proton perlu bangun dari tidurnya dan berdepan dengan realiti dunia automotif. Ia tidak boleh mengelirukan rakyat seperti Mohd Fauzi dengan berita yang ditapis beberapa kali sebelum dicetak.
