Bahasa Malaysia (BM) jarang sekali didaulatkan sebagai bahasa perantaraan alternatif, apatah lagi sebagai bahasa utama. Ini sudah menjadi lumrah, dan berlaku di mana-mana badan bukan kerajaan yang ahlinya dikuasai oleh rakyat keturunan bukan Melayu atau bukan Islam.
Tidak kira dalam bentuk pertuturan atau penulisan, banyak alasan diberi untuk tidak menggunakan BM secara meluas. Tidak mengapalah jika generasi lama yang hanya fasih dalam bahasa ibunda mereka dan bahasa Inggeris, agak sukar untuk mendaulatkan BM.
Dalam meyuarat agong tahunan sebuah persatuan tahun lalu, saya telah mengetengahkan satu usul sebagai seorang ahli biasa. Usul berkenaan mencadangkan supaya BM digunakan sebagai bahasa alternatif pertubuhan tersebut (selain daripada penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa utama) sebagai menggantikan bahasa Inggeris yang kini masih digunakan dalam borang keahliaan dan laporan akaun pertubuhan tersebut.
Malangnya, usul tersebut bukan sahaja ditolak, malahan tiadapun seorang ahli yang berani mengangkat tangan untuk menyokong usul tersebut supaya ia dapat dibincangkan dalam mesyuarat agung berkenaan.
Secara kebetulan pula, pada mesyuarat tahun ini, seorang ahli golongan lama yang tidak boleh membaca bahasa Cina mengusulkan supaya persatuan itu dapat menterjemahkan atau merumuskan kandungan buku laporan mesyuarat agong tahunan kepada Bahasa Inggeris (BI).
Berikutan itu, saya pula membangkit dan mengemukakan satu cadangan tambahan bahawa rumusan dalam BM juga harus turut disertakan. Seperti dijangka, sekali lagi cadangan saya ditolak atas alasan yang remeh-temeh bahawa ia akan menambahkan ketebalan buku berkenaan!
Pasanglah mata dan telinga kita, lihatlah dan dengarlah dengan teliti. Rata-rata anak muda bukan Melayu kita, sebilangan besarnya setelah meninggalkan bangku sekolah atau menara gading, pembacaan dan penggunaan dalam BM hampir langsung ditinggalkan.
Setelah mereka mula bergiat dalam alam pekerjaan, terutamnya dalam syarikat swasta yang kebanyakannya lebih mengutamakan penggunaan BI, kedudukan BM lagi dipinggirkan.
Hakikat bahawa saya sendiri mempunyai latarbelakang pendidikan bahasa Cina tidak sedikit menjejaskan rasa kasih sayang saya terhadap BM. Sebab saya tidak menghadkan penggunaan BM bagi menghadapi peperiksaan mata pelajaran BM semata-mata, bahkan lebih jauh daripada itu.
Saya menganggap BM sebagai bahasa kebangsaan kita. Bahasa komunikasi yang dapat menyatupadukan semua rakyat di Malaysia jika keindahannya boleh dihayati, penguasaannya dapat diperkukuhkan dan seterusnya penggunaannya turut diperluaskan.
Kenyataan ini hanya akan berlaku sekiranya semua rakyat Malaysia dapat mengikis sikap negatif mereka terhadap BM. Malahan ia akan menjadikannya sebagai wahana bagi meraih dan menyampaikan ilmu dan maklumat, sama ada bersifat ilmiah atau kemahiran.
Setelah meninggalkan alam persekolahan, saya terus membaca buku, akhbar (termasuk Harakah yang berhasa Melayu satu ketika dahulu) dan majalah berbahasa kebangsaan. Selain itu, saya juga mengambil setiap kesempatan yang ada untuk bergaul mesra dengan orang Melayu .
Hasilnya, saya tidak menghadapi masalah dengan ajaran Islam dan budaya Melayu. Bagi saya ajaran Islam ialah ajaran yang unggul dan bangsa Melayu ialah bangsa yang perlu disegani dan didekati. Malahan saya bersikap positif terhadap perkembangan BM.
Tidak mengira betapa berat bebannya, semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum dan agama, harus berusaha dengan sedaya upaya menterjemahkan sebanyak mungkin ilmu dan maklumat dari bahan Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain di dunia.
Lihatlah bagaimana rakyat negara China, Jepun, Taiwan dan Perancis yang berusaha melipatganda usaha menterjemah ilmu-ilmu dan maklumat-maklumat yang terkandung dalam bahasa asing kepada bahasa kebangsaan mereka sendiri, hatta membanjiri pasaran buku dan laman-laman web hasil usaha rakyat mereka. Malangnya, sikap rakyat asing mencintai bahasa kebangsaan mereka tidak pula dicontohi oleh rakyat Malaysia.
Menurut hasil kaji selidik yang dibuat oleh seorang ahli penyelidik dari Huazi atau Pusat Kajian Tionghua Malaysia (Cetre for Malaysian Chinese Studies), Tang Ah Chai, di beberapa bandar besar di Malaysia, hanya kurang daripada lima peratus daripada jumlah orang Tionghua yang menyertai kaji selidik itu membaca akhbar berbahasa kebangsaan.
Menurut Tang lagi yang menggunakan Internet malahan tidak sampai satu peratus! Apakah kita boleh mengharapkan masyarakat Melayu/Islam yang lebih miskin dan ketinggalan dalam penguasaan BI melebihi daripada angka itu?
Apa tidaknya, memandangkan kebanyakan maklumat dalam laman web, termasuk hasil usaha rakyat kita sendiri seperti malaysiakini , umumnya menggunakan media Inggeris.
Masalah sikap negatif terhadap bahasa kebangsaan kita memang sesuatu yang lumrah dalam masyarakat bukan Melayu. Masalah ini bukan berpunca daripada kewujudan sekolah menengah swasta Cina yang mengguna tiga bahasa iaitu bahasa Cina, BM dan BI, yang mempunyai sukatan pelajaran malaysia. Jauh sekali disebabkan oleh para pelajar yang menuntut di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan seterusnya menyambung pelajaran mereka di sekolah menengah kebangsaan.
Ini terbukti kerana sikap buruk anak-anak muda bukan Melayu terhadap BM juga ketara di kalangan para penuntut yang berasal dari sekolah rendah kebangsaan.
Ketuanan kepada Bahasa Inggeris berjaya mengabdikan mereka untuk menjadi hamba setia bekas penjajah itu. Jiwa seorang anak 'Melayu' (sebagaimana yang digambarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bukunya - 'Kebangkitan Asia' atau Asia Renaissance yang menganggap Nusantara (Kepulauan Melayu) sebagai tanah tumpah darahnya sudah hancur berkecai.
Ketua Pemuda DAP, Teng Chang Khim yang akhir-akhir ini menyeru ahli politik veterannya, Lim Kit Siang supaya tidak mempertahankan jawatan Pengerusi parti itu, memang tidak asing lagi dengan kefasihan berbahasa Melayu (BM).
Beliau bukan sahaja lantang berucap dan di pelbagai ceramah yang dianjurkan oleh Barisan Alternatif (BA). Beliau berani berdebat di Dewan Perhimpunan Negeri Selangor, malahan sebagai seorang bekas jurubahasa mahkamah yang kini bergelar seorang peguam, beliau juga amat fasih dalam penulisan BMnya.
Daripada perwatakannya, jelas terserlah jiwa seorang anak 'Melayu' yang sejati dalam perjuangan politik dengan penguasaan BMnya yang amat baik. Dalam satu forum yang dianjurkan oleh Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada tahun lalu, saya telah melontarkan satu persoalan kepada beliau yang menyampaikan ucapannya dengan disertai oleh Ketua Penerangan Keadilan Nasional (Keadilan), Ruslam Kasim. Soalan saya berbunyi: Bilakah DAP hendak menggunakan BM dalam mesyuarat agong parti itu dengan sepenuhnya?
Seperti yang dijangka, sebagai seorang pemimpin DAP beliau terpaksa akur kepada realiti bahawa kebanyakan perwakilan dan ahli parti itu masih gagal menguasai BM dengan baik.
Beliau menjawab, walaupun parti itu membenarkan pelbagai bahasa digunakan dalam mesyuarat agongnya, tetapi parti itu juga mempunyai ramai ahli muda yang amat fasih bertutur dalam BM seperti orang Melayu.
Memang tidak dapat dinafikan, gabungan Barisan Alternatif (DAP, PRM dan Keadilan) telah menyediakan semua pemimpin bukan Melayu peluang yang banyak untuk melatih penguasaan BM mereka ketika memberi ceramah politik. Sebelum ini, selain wakil rakyat, pemimpin DAP jarang-jarang berpeluang untuk berucap dalam BM di kahlayak ramai.
Bukan sahaja Teng sendiri mengaku penguasaan BMnya semakin baik, hatta kini berasa kaku bertutur dalam bahasa Mandarin. Malahan Tian Chua yang dulu agak kekok berbahasa kebangsaan telah bertukar wajah menjadi ahli pidato dalam BM yang mengagumkan, sebelum beliau ditahan di bawah ISA.
Tambahan pula, anak-anak muda bukan Melayu yang dulu agak malas membaca bahan-bahan cetakan berbahasa kebangsaan mula merebut peluang ini. Mereka mula membeli dan membaca cetakan BA yang berkala dan tidak berkala untuk mengetahui perkembangan terbaru di negara kita. Para pembaca bukan Melayu kian hari kian meningkat, hatta menterjemahkan kandungannya kepada bahasa ibunda mereka untuk tatapan golongan tua.
Sehubungan itu, surat dan rencana tulisan anak-anak muda bukan Melayu mula membanjiri lidah-lidah rasmi BA seperti Harakah, Roket, Suara PRM dan Berita Keadilan . Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah akhbar-akhbar harian berbahasa kebangsaan kita seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian .
Bukankah gabungan BA telah menciptakan sejarah dalam meningkatkan kewibawaan BM di sisi mata rakyat kita dan seluruh dunia yang selama ini gagal dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN)?
Selama ini bahasa kebangsaan kita memang tidak pernah menjadi bahasa kesayangan para ilmuwan dan elit masyarakat kita dalam membahaskan sesuatu isu yang membabitkan kepentingan semua kaum dan agama.
Dari forum mahkamah yang didirikan oleh kerajaan sehinggalah forum perdebatan yang diusahakan oleh rakyat Malaysia yang budiman, bahasa itu memang merupakan pilihan kedua. Lihatlah akhbar-akhbar harian berbahasa Malaysia yang langsung tidak menggambarkan sifat 'Malaysia'nya.
Selain isu yang mengaitkan kaum Melayu dan agama Islam, isu yang menjejaskan kaum dan agama lain jarang sekali diteliti dan diperdebatkan oleh pembaca dan penyumbang rencana akhbar-akhbar itu. Melainkan isu-isu seperti hak keistimewaan Melayu dan murtad diapi-apikan bagi kepentingan BN, khususnya Umno.
Suasana perkauman dan keagamaan yang sempit dan berbau permusuhan sentiasa menyelubungi udara kita, sekaligus menyekat nafas kita. Sampai bilakah akhbar-akhbar berbahasa kebangsaan ini akan berhenti menyebarkan lagi 'racun-racun' ini yang sudah lama mencemari udara segar dan bersih negara kita?
Pada hakikatnya, kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama yang tumbuh dengan segak dalam masyarakat Malaysia merupakan kekuatan kita. Malangnya, akhbar-akhbar berbahasa kebangsaan seolah-olah amat keberatan menjadikan halaman akhbar mereka sebagai wahana untuk semua kaum dan agama membicarakan dan memperdebatkan isu-isu tertentu bagi menjamin keharmonian dan sifat madani dalam masyarakat kita.
Kesudahannya media bahasa Inggeris menyelinap dan mengambil kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Lalu ia bangkit menjadi wadah bagi orang bukan Melayu/Islam bagi meluahkan rintihan dan kemarahan mereka. Akibatnya, semakin ramai rakyat Malaysia tidak yakin dan enggan menghormati kedudukan BM kerana ia gagal menggambarkan keadaan yang sebenar masyarakat kita.
Sebaliknya, Harakah , sebagaimana yang disifatkan oleh Berita Keadilan edisi bahasa Cina yang terbaru, telah membuka jalan kepada interaksi peradaban dengan memperkenalkan ruangan 'Kenali Jiran' yang merangkumi maklumat mengenai budaya kaum-dan kepercayaan agama lain selain memperkatakan budaya Melayu dan agama Islam.
Malaysia kalah kepada negara-negara lain dalam persaingan di pentas dunia kerana fahaman perkauman dan semangat keagamaam yang sempit . Kegagalan rakyat Malaysia menguasai dan menyayangi BM adalah antara faktor yang sukar untuk menyingkirkan kedua-dua batu penghalang itu . Jadi, kuasailah Bahasa Malaysia demi masa hadapan Malaysia lebih cerah.
