Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin-pemimpin PAS kebelakangan ini menjadi sedikit kurang cerdik. Bermula dengan isu Mustafa Ali dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat, kini Khalid Samad memperhangatkan kembali hal lama.

Saya tidak pasti adakah temubual Khalid dengan Ummahonline.com berlaku selepas pesuruhjaya PAS itu bertemu mursyidul am PAS atau sebelumnya.

Tetapi yang pasti Malaysiakini baru menghangatkannya ( 'Mentaliti suka haramkan' punca PAS T'ganu tewas , 22 Sept).

Umum sudah mengetahui bahawa 16 September telah berlalu tanpa sebarang pertukaran kerajaan. Jadi maknanya, analisis Mustafa dalam Harakah itu betul.

Kesalahannya, bagi saya, adalah meletakkan pendapat peribadinya di muka hadapan Harakah . Tindakan itu, saya rasa, agak terlebih sebagai pengerusi jemaah pengarah Harakah .

Tetapi temubual Khalid dengan UmmahOnline.com ini lebih ditujukan pada peribadi Mustafa dan bukannya isu yang diutarakan iaitu adakah Anwar Ibrahim berjaya menubuh kerajaan persekutuan atau tidak.

Khalid telah melencong jauh daripada persoalan sebenar dengan menyatakan PAS Terengganu kalah kerana suka menonjolkan aktiviti "mengharamkan".

Saya tidak bersetuju dengan Khalid kerana PAS Kelantan lebih teruk dalam bab haram-mengharam ini. Apa yang diharamkan di Terengganu, yang tidak diharamkan di Kelantan - judi, konsert, arak?

Jadi, kenapa PAS Terengganu tewas tetapi PAS Kelantan menang? Sahih, Khalid salah dalam congakan beliau. Bukan sebab itu Terengganu kalah.

Bukan juga sebab faktor pimpinan dan calon. Jika kerana pimpinan, mengapa Abdul Hadi Awang menang di kerusi-kerusi DUN dan parlimen?

Jika kerana calon Terengganu yang tidak berkualiti, mengapa Mohamad Sabu juga tidak menang padahal beliau bukan berasal dari Terengganu?

PAS menang pada pilihanraya ke-10 bukanlah kerana kekuatan PAS tetapi orang Melayu pada waktu tersebut memprotes kezaliman ke atas Anwar.

Kekalahan pada pilihanraya ke-11 bukan sahaja menimpa Terengganu, malah Kelantan juga hampir jatuh. Apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan Selangor?

Kekalahan Terengganu pada pilihanraya ke-12 pula bukanlah akibat sebab-sebab lain tetapi kerana Terengganu mempunyai majoriti besar pengundi Melayu yang menyokong totok Umno, tidak seperti Melayu Kelantan yang totok PAS.

Jika Selangor juga berpopulasi seperti Terengganu, Khalid jangan bermimpi mahu menjadi ahli parlimen (MP). Beliau menang hanya kerana undi bukan Melayu.

Undi bukan Melayu di Terengganu terlalu sedikit. Berpadanankah untuk dibuat perbandingan? Sampai bilakah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mahu menyedari hakikat kejayaan "lebih kuah dari sudu" ini?

Bilangan ahli parlimen PKR, iaitu tunjang utama Pakatan, tidak menyamai bilangan separuh daripada bilangan MP Umno. Tidakkah mereka ini sedar?

Lagi, apakah sebenarnya kejayaan PAS Selangor? Pembinaan ladang babi tahap mega? Pengharaman Islam Hadhari? Cerminlah diri!

ADS