Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Membaca surat Zulkarnain Zakaria, 'Formula meritrokasi menurut Nik Aziz' (14 Ogos) membuatkan hati terdetik untuk meluahkan pandangan saya.

Apa juga rupa pertelingkahan yang membabitkan bangsa, agama dan budaya tidak akan timbul pada masa akan datang sekiranya setiap rakyat Malaysia menanamkan matlamat yang sama. Satu inisiatif untuk mahu menampilkan generasi yang lebih matang, bersahsiah positif dan berintelek tinggi serta berdaya saing hebat. Satu generasi yang mampu dan pintar berfikir bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk orang lain, masyarakat dan negara.

Generasi demikian pada dasarnya mempunyai ciri-ciri nasionalisme dan patriotisme tulin, tahu dan faham makna sebenar nilai-nilai murni kemanusiaan (tidak prejudis, bertolak-ansur, bertimbang rasa, saling menghormati, memahami dan membantu) di mana nilai-nilai ini telah diterap, dipupuk dan dipraktikkan dengan positif sejak kecil lagi; bermula dari rumah dan berterusan hingga ke peringkat awal persekolahan (tadika dan sekolah rendah).

Penerapan nilai-nilai murni ini sebenarnya tidaklah sukar untuk dilaksanakan. Ia hanya memerlukan perubahan sikap dan pemikiran dalam diri ibubapa, individu, masyarakat dan pihak-pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak terhadap betapa pentingnya kemahiran keibubapaan serta mustahaknya pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak untuk melahirkan generasi yang berkualiti.

Seperti apa yang pernah diungkapkan oleh seorang teman karib saya: "the future is built on decisions made today and a good decision made today creates the necessary pillars for future well-being. Good values sowed today blossom into beautiful flowers of justice and peace" (masa depan itu dibina di atas landasan apa yang diputuskan hari ini, dan satu keputusan berasaskan nilai-nilai murni akan menjadi tonggak yang kukuh bagi masyarakat masa hadapan. Manakala benih yang terbaik yang disemai hari ini akan mekar membentuk kuntum bunga-bunga indah di persada keadilan dan keharmonian.)

Keputusan yang diambil dengan positif untuk mengubah sikap dan pemikiran adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai apalagi jika perubahan itu menjurus kepada penghayatan, menanam pandangan dan menganggap bahawa anak-anak Malaysia merupakan 'matlamat bersama' yang wajar diberi peluang sama rata untuk mencapai tahap pertumbuhan dan perkembangan yang maksima dari segi fizikal, mental, kognitif, emosi dan sosial.

Kita juga haruslah menerima anak-anak yang ada sekarang dan yang bakal lahir dengan tangan terbuka dan dada yang lapang - menganggap mereka sebagai harta negara yang paling berharga dan perlu diasuh, digilap dan dididik sebaik mungkin.

Pencapaian pertumbuhan dan perkembangan yang maksima adalah bakal pembuka minda dan pencetus keupayaan bakal generasi masa hadapan untuk lebih berfikiran kritis dan abstrak - satu faktor utama yang dapat membantu generasi baru memastikan keharmonian perpaduan sentiasa terpupuk dan negara terus makmur dan dipandang mulia di mata dunia.

Menghulurkan rasa peri kemanusiaan kepada anak-anak Malaysia tanpa prejudis tidak akan memiskinkan mana-mana pihak malah bagi insan-insan yang tahu menilai harga sebuah kehidupan, ia memberi pulangan yang paling berharga di dunia dan akhirat.

Jika kita ingin melentur buluh, biarlah dari rebungnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS