Gerakan militan memang wujud di universiti
Merujuk kepada kenyataan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Datuk Dr Ahmad Fawzi Basri minggu lalu bahawa pelajar universiti kini diresap dan dihasut untuk bersikap militan adalah benar.
Gerakan militan ini bergiat dalam bentuk pasukan militan Rotu (Reserved Officer Training Unit) atau Palapes di mana mereka diajar berkawad, menembak, teknik peperangan, dan lain-lain lagi latihan ketenteraan.
Selain itu, wujud pasukan militan Kesatria di UiTM di mana mereka diajar berkawad dan sekarang memakai T-shirt celoreng (Al-Ma'unah?) yang dahulunya memakai baju hijau 'paddy green'.
Pelajar universiti juga terdedah dengan gerakan militan yang dipelopori BTN (Biro Tata Negara) di mana hampir kesemua pelajar UiTM dikehendaki mengikuti kursus bina semangat (semangat perkauman juga ditiupkan selain dari latihan ala tentera dan 'brainwashing') yang dianjurkan oleh gerakan ini.
Pada hakikatnya, semua gerakan militan ini dianjurkan dan digalakkan oleh pihak pentadbiran universiti.

