Saya terkilan dan sedih membaca reaksi saudara Hasniron Hamdan terhadap ulasan sinis Abdul Rahman Koya tentang filem Hishamuddin Rais, Dari Jemapoh Ke Manchestee ('Hidangan kebebasan berfikir', 30 Ogos) Tuduhan beliau bahawa Abdul Rahman "ditawan emosi" dalam menempelak filem tanah air bukan sahaja tidak berasas malah ia hanya berjaya mendedahkan siapa penulis sebenarnya: iaitu salah seorang daripada ribuan peminat filem tempatan yang akan datang berduyung-duyung menonton hasil kerja tidak berkualiti atas dasar patrotisme buta.
Pada perenggan pertama sahaja, beliau terus memetik kata-kata Datuk Yusuf Haslam yang menampakkan suatu kedegilan tidak mahu menerima kritikan dengan alasan ia tidak disertai "alasan-alasan konkrit" dan cadangan-cadangan membina. Pada saya, paling tidak ini membuktikan penulis seorang peminat setia Yusuf Haslam, itu sahaja.
Sebagai seorang penonton, adalah tidak munasabah bagi Abdul Rahman sebagai pengulas untuk mengutarakan cadangan membina. Beliau telah dengan cermat bergerak di dalam lingkungan kemampuannya - iaitu seorang penonton - untuk tidak memberikan apa-apa cadangan yang lebih baik difikir oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam perfileman. Adakah penulis mahu menafikan Abdul Rahman hak memberikan pendapatnya tentang kualiti filem dari kacamata seorang penonton?
Pengakuan penulis bahawa beliau "kurang gemar" membaca ulasan filem yang "semata-mata melabelkan satu-satu filem itu sebagai bagus, biasa ataupun buruk" juga tidak menentu dan hanya menggambarkan beliau sebagai seorang yang ditawan emosi ketika membaca tulisan Abdul Rahman. Saudara Abdul Rahman telah dengan jelas menyatakan alasan mengapa filem Dari Jemapoh Ke Manchestee tidak berkualiti.
Gaya lakonan yang sumbang dan tidak realistik bukanlah satu-satu alasan yang diberikan Abdul Rahman. Namun, ini sudah cukup kerana di sinilah keseluruhan filem akan diadili dari segi directorship serta plotnya. Sumbang lakonan maka sumbanglah plotnya seterusnya menggagalkan apa yang ingin dibawa oleh penulis skrip.
Inilah sebabnya seseorang pengarah mendapat sama ada kepujian melangit atau kutukan keras - bukan penulis skrip atau pelakon itu sendiri. Begitu juga dengan lagu - pencipta lagu biasanya tidak diberikan penghormatan, tetapi penyanyi yang membawakan ciptaannya.
Selain itu, Abdul Rahman telah secara jujur dan terbuka mengkritik dengan alasan bahawa storyline filem tersebut terlalu perlahan dan membosankan, juga unsur-unsur yang tidak logik dan realistik. Saudara Hasniron jangan cepat melatah bila orang boleh menerima filem barat yang menghidangkan adegan tidak logik tetapi tidak pula apabila filem tempatan cuba meniru perkara sama.
Untuk itu, saya cuma perlu memberikan contoh X-XRay sebuah filem yang kononnya 'sci- fi' tetapi akhirnya tersungkur dengan kebodohan dan peniruan pembikin filem yang tidak mempunyai idea original. Sampai bila pengusaha filem kita akan keluar dari tempurung mereka? Atau apakah betul pemerhatian Abdul Rahman bahawa mereka yang mengendalikan industri filem Melayu kurang berpendidikan dan kurang membaca justeru hasil-hasil yang third-rate ?
Bagi penulis, pengkritik-pengkritik seperti Abdul Rahman Koya membunuh industri perfileman tempatan. Bagi saya, pembunuh industri filem Melayu bukan pengkritik seperti Abdul Rahman, tetapi peminat-peminat yang tidak 'selektif' dan tidak mampu membezakan mana intan mana kaca, yang gagal memanggil "sebatang cangkul itu memang sebatang cangkul" ( to call a spade a spade ).
Mereka inilah yang terus menyumbang kepada kedangkalan industri filem tanahair menerusi respons positif mereka kepada filem-filem bermutu rendah. Tidak syaklah kita terus dihidangi dengan filem-filem seperti Sembilu , seperti apa yang diluahkan Abdul Rahman.
Saya mengucapkan syabas kepada Abdul Rahman kerana berjaya menelanjangkan industri filem tempatan. Janganlah kita menjadi seperti pengampu dalam kisah The Emperor's New Clothes . Bagi saya kritikan-kritikan lantang dan sinis, malah kutukan seperti yang diberikan Abdul Rahman perlu digalak dan diterima dengan hati terbuka supaya para pengusaha filem tempatan terus berusaha untuk memperbaiki hasil persembahan mereka. Janganlah mereka menganggap rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya terdiri daripada golongan yang tidak selektif justeru menelan sahaja apa-apa sampah yang dihidangkan.
Akhir kata, saya tidak hairan langsung dengan perasaan hampa Abdul Rahman setelah membazir wangnya. Saya sudah lama membuat rumusan bahawa industri filem tanahair sedang berada dalam kesakitan yang tenat dan mungkin juga, seperti ditulisnya, telah lama terkubur bersama-sama jenazah Allahyarham P Ramlee.
