LETTER

Siswa mengeluh tekanan UUM

Amirah Shuhada

Published
Modified 29 Jan 2008, 10:21 am

Pertama sekali, saya tergerak untuk menulis emel ini kerana terbaca keluhan editor malaysiakini Steven Gan ('Write without fear', July 17) mengenai tindakan seorang pelajar universiti yang membuat laporan polis terhadap laman web berita ini.

Saya dapat meneka situasi yang dihadapi oleh Husnul Hadi Halim yang tertekan lalu mengambil tindakan yang melukakan hati editor web ini. Situasi kami di Universiti Utara Malaysia amat parah sekali dengan tekanan dari pihak atasan terutamanya sejak Naib Canselor baru mula berkuasa.

Kami masih bergelar pelajar, walau semangat ingin menegakkan kebenaran menggelegak, namun kami masih tidak bebas untuk menegakkan kebenaran. Lebih-lebih lagi apabila bergelar pelajar UUM, tiada dahan untuk kami berpaut. Kami tidak mendapat mana-mana sokongan, di saat kami digelar pemberontak. Kami di sini tiada punya apa-apa hak, kami boleh diperlakukan apa sahaja. Malah kami sering dijadikan mangsa provokasi oleh ramai orang atasan.

Contohnya baru-baru ini kami dikaitkan dengan gerakan mujahidin militan. Walhal ia hanyalah permainan pihak atasan yang inginkan nama. Tiada apa yang berlaku kami terancam dan diancam, akibat dari lokasi kami yang agak terpinggir menyebabkan apa yang sebenarnya berlaku di sini tidak sampai ke pengetahuan umum.

Di sini sesiapa sahaja pelajar yang kelihatan agak 'Islamic' dan agak menonjol boleh digeledah biliknya bila-bila masa untuk mencari bukti atau dibuatkan bukti bahawa mereka menentang kerajaan. Apabila pihak media dan pentadbiran bergabung tenaga, apa lagi yang mampu kami lakukan?

Tercatat di dalam sejarah UUM, kes saudara Mohd Rizal Anan yang menyaman pihak UUM akibat dari penggantunganya yang tidak munasabah, tetapi ia tidak menyelesaikan apa-apa, samannya hanya difailkan tetapi tiada tindakan. Malah pelbagai lagi rentetan tuduhan terhadap dia tetap dilakukan.

Baru-baru ini kes 13 pelajar UUM ditangkap di hutan Bukit Wang, pelajar yang hanya mengadakan kem motivasi, dituduh mengamalkan kegiatan sesat Black Metal, kes ini mungkin selesai di dada akhbar.

Tetapi tidak di kampus kami, di mana rentetan peristiwa itu nama saudara Rizal dikaitkan dan pihak Majlis Perwakilan Pelajar kami disiasat untuk tindakan tatatertib, dan seluruh pergerakan Islamik yang ada di UUM seperti Jamaah Islah Malaysia dikecam serta dituduh terlibat dalam militan.

Sebenarnya situasi di UUM dan mahasiswa institut pengajian tinggi awam amat parah, ditekan dan diancam. Namun UUM lebih parah kerana berada di bawah pemerintahan 'kuku besi'. Sesunguhnya kami tahu tiada siapa yang mampu membela nasib kami disini, kerana itu kami terpaksa mengambil tindakan sama ada berdiam diri dan menghentikan segala tindakan atau terus menjadi perhatian pihak atasan serta terus diperkotak-katikkan.

Konsep "write without fear" sebenarnya tidak dapat kami praktikkan di UUM, tetapi emel ini hanya menggunakan nama samaran dan boleh disiarkan agar sekurang-kurangnya suara kami boleh didengar oleh pembaca web ini.