Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya pun rasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat saya tentang kegiatan di institusi pengajian tinggi awam sepertimana saudari Amirah Shuhada ('Siswa mengeluh tekanan UUM', 6 Sept).

Dakwaan bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia Wan Noor Hayati Wan Alias bahawa gerakan yang kononnya menggunakan dana universiti untuk menghasut pelajar supaya membenci kerajaan dan pemimpin, serta telah menyebabkan dia gagal di dalam peperiksaan, terang-terang membuka pekung di dadanya sendiri.

Sebenarnya gerakan tersebut bukanlah menjuruskan seseorang untuk mendapat kegagalan di dalam pengajian UTM tetapi hanyalah untuk memberikan kita peluang untuk berfikir tentang kehidupan kita sebagai umat Islam: apa yang kita perjuangkan, apa yang kita hadapi dan sebagainya.

Jika Wan Noor Hayati sedar bahawa gerakan itu salah (bagi dia), kenapa dia tidak tinggalkan sahaja gerakan tersebut? Mengapa dia masih terus bergiat di dalam gerakan itu? Kenapa tidak memberitahu unit Hal-Ehwal Pelajar tentang gerakan itu? Kenapa apabila sudah gagal baru hendak 'membuka' aktiviti gerakan itu?

Sebenarnya semua aktiviti agama di UTM bukannya wajib disertai seperti usrah, kuliah, ceramah dan sebagainya. Cuma yang berminat sahaja yang akan menyertai aktiviti itu.

Kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Kerana Hayati seorang, habis semua pelajar dan kakitangan IPTA bersalah. Saya berasa kasihan kerana pensyarah yang bertungkus-lumus untuk menjadikan para pelajarnya berjaya tetapi dibalas jahat oleh segelintir pelajar.

Dengan dakwaan Hayati, telah terbatallah hampir semua aktiviti agama di UTM. Hayati harus bertanggungjawab di atas perkara ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS