Merujuk kepada surat 'Azan sesuai di zaman Nabi tetapi tidak relevan di zaman IT' (3 Sept), penulis tidak menyatakan dengan lengkap saranan yang diberikan. Kita mesti melihat apa tujuan sebenar azan. Mengapa azan digalakkan? Apa masalah pada hari ini kalau azan dilaungkan? Azan juga sebagai suatu syiar Islam.
Alasan yang diberikan penulis bahawa azan tidak relevan di zaman teknologi maklumat adalah kerana masuk waktu sembahyang boleh diketahui dengan jelas dan semua orang memakai jam tangan. Tetapi bukan semua orang memakai jam tangan seperti sesetengah kanak-kanak, orang tua dan suri rumah.
Mungkin ada jam dinding, tetapi dengan adanya azan, lagi jelas bahawa telah masuk waktu sembahyang dan mesti pergi sembahyang, lebih-lebih lagi untuk mengingatkan sesetengah orang yang tidak mengambil berat tentang masuk waktu sembahyang.
Adakah dengan 'meniadakan' azan, lebih ramai orang akan ke masjid disebabkan "setiap orang ada jam"? Itulah pokok persoalannya.
Kita ambil contoh penggunaan IT dalam kehidupan seharian - penghantaran surat secara biasa dan penggunaan e-mel. Kenapa posmen masih diperlukan pada hari ini walaupun penggunaan e-mel di zaman IT boleh dilakukan? Jawapannya, bukan semua orang ada e-mel! Dan lagi, pengunaan e-mel ada masalahnya tersendiri; sebagai contoh, e-mel bervirus, e-mel tergantung penghantarannya atau penerima e-mel tidak buka peti e-melnya dan bukan semua benda boleh dihantar menerusi e-mel.
Walaupun alat moden banyak untuk memberitahu telah masuk waktu sembahyang, adakah sama kaedah 'azan' dan kaedah alat moden, jam, suratkhabar dan sebagainya? Bolehkah peranan azan digantikan sepertimana juga penghantaran surat melalui pejabat pos?
Sebenarnya, apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana nak pastikan semua orang Islam di Malaysia sembahyang lima waktu dan di masjid. Itu yang utama.
Begitu juga dengan khutbah. Dapatkah peranan khutbah itu diambil alih oleh penggunaan IT?
