Saya mengikuti dengan begitu prihatin tanggapan terhadap Pemuda Umno yang cuba dilemparkan oleh bekas YB Ibrahim Ali ('Pemuda Umno 'lesu' kerana Anwar', Okt 5). Sebagai seorang yang juga ahli Umno (Pemuda), saya merasa tercuit untuk memberi sedikit pandangan saya sendiri perihal komen Pak Ibrahim itu.
Jika melihat hanya dari sudut kelantangan, memang Pemuda Umno kini seakan-akan hilang taringnya. Pemuda Umno kini suka mendiamkan diri, tidak mahu menyerlahkan penampilan mereka dan lebih suka melakukan kerja dari membuang masa dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti berdemonstrasi yang tiada hujung pangkalnya.
Saya yakin mungkin Pak Ibrahim masih dipengaruhi elemen bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim bila dia mengatakan bahawa Pemuda Umno dulu sangat lantang di dalam menyuarakan pendapat mereka. Jika kita meneliti kembali sejarah perjuangan Umno, hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja barulah Pemuda Umno menggunakan taktik konfrontasi untuk menegakkan perjuangan mereka.
Ia bukanlah seperti reformasi jalanan yang hampir setiap minggu dulu cuba untuk mengadakan perhimpunan haram. Dan konfrontasi itu hanyalah untuk seketika sahaja dan tidak berpanjangan. Malahan, kini, ia tidak boleh digunakan lagi kerana ia hanya akan mengundang padah.
Demonstrasi hanya menunjukkan kelemahan di dalam penyelesaian sesuatu masalah; jika masalah boleh diselesaikan dengan cara yang lebih aman, bertamadun dan berfikiran, mengapa wajar menggunakan cara yang hanya layak untuk dimuatkan di dalam berita sebagai satu cara mendapatkan publisiti murahan?
Zaman Pak Ibrahim sudah berlalu. Biarlah kami dari kelompok Melayu muda menggunakan pendekatan kami sendiri yang lebih berkesan dan mengikuti peredaran zaman. Masanya bukan lagi untuk berhujah, lantang bersuara, berdemonstrasi dan berkonfrontasi; kerana hasilnya tidak seberapa. Taktik lapuk ini sudah tidak berkesan lagi.
Di alaf baru ini, apa yang penting ialah hasil usaha dan bukan kata-kata. Pemuda Umno diam tetapi tetap berjuang untuk orang Melayu. Pemuda Umno membantu di semua peringkat, menyediakan kelas-kelas bimbingan tambahan dan menjadi suara kepada orang kebanyakan. Kelantangan tiada erti jika tidak diikuti usaha murni.
Wajar dilihat di sini suasana sudah berubah. Rakyat memerlukan bantuan dari segi pendidikan, pembangunan dan peningkatan taraf hidup. Kita sudah lama merdeka Pak Ibrahim, tetapi masih banyak yang perlu disumbang ke arah pembangunan umat Melayu di Malaysia.
Saya berpendapat tanggapan yang Pemuda Umno sudah lesu tidak benar dan wajar dipertikaikan. Kesepian suara bukanlah ukuran kelesuan seseorang dan sesuatu pergerakan. Malah, kesepian suara menunjukkan Pemuda Umno sehati sejiwa untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, bukan hanya dengan kata-kata kosong.
Pak Ibrahim wajar memberi sumbangan kepada usaha Pemuda Umno, dan bukan cuba mendedahkan kelemahan yang sebenarnya tidak wujud di dalam Pemuda Umno kini.
