Most Read
Most Commented
Read more like this

Aktivis media Lutfi Othman dalam surat aduannya kepada Badan Pencegah Rasuah (seksyen B) mendakwa bahawa Datuk Mohd Khir Toyo dalam mesyuarat Exco Selangor pada 20 Disember 2000, telah menganugerahkan 400 ekar tanah di Bukit Cherakah kepada syarikat tertentu.

Permohonan memajukan tanah tersebut dan kelulusan tanah 100 ekar setiap syarikat itu sebenarnya berlaku pada 1994 (ketika itu Selangor di bawah Tan Sri Muhammad Muhd Taib).

Takkanlah orang lain yang meluluskan permohonan memajukan tanah orang lain yang terkena getah?

Lutfi juga hanya memberitahu harga tanah tersebut tapi tidak menyentuh berapa banyak premium yang kena dibayar kepada kerajaan negeri oleh syarikat tersebut.

Lutfi dengan lantang mendakwa Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebagai MB Selangor telah menyalahgunakuasa dengan meluluskan permohonan tanah mengikut butiran berikut:

Tarikh mesyuarat Exco: 20 Disember 2000

Lokasi tanah: Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Selangor

Empat dari enam pemohon yang berjaya:

1) Layar Kekal (M) Sdn Bhd,

2) Tirai Gemilang Sdn Bhd,

3) Usahasewa Sdn Bhd,

4) Samasys Sdn Bhd

Keluasan: Setiap syarikat mendapat 100 ekar tanah

Hasil carian kami (Lutfi) menunjukkan pengarah-pengarah bagi syarikat berkenaan:

1) Layar Kekal: Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari, Samsuri Rahmat

2) Tirai Gemilang: Samsuri Rahmat, Amran Abu Bakar

3) Samasys: Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari, Samsuri Rahmat

4) Usahasewa: Samsuri Rahmat, Amran Abu Bakar

Dilihat di sini, Samsuri Rahmat ialah pengarah kepada semua empat syarikat berkenaan, sementara Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari dan Amran Abu Bakar ialah pengarah kepada dua syarikat. Keempat-empat syarikat itu mempunyai alamat daftar dan alamat perniagaan yang sama: No 8, Tingkat 1, Jalan PS , Bandar Pinggiran Subang, Seksyen 1, Shah Alam, 40150 Selangor.

Sebenarnya, tanah 400 ekar di Mukim Bukit Raja tersebut diluluskan kepada empat syarikat tersebut melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam surat tawaran kepada syarikat tersebut bertarikh 18 0ktober 1994 dan 14 November 1994. (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri 14 dan 21 September 1994).

Pada ketika itu, Mohd Khir belum pun lagi menjadi Menteri Besar jadi bagaimana seorang penulis berpengalaman seperti Lutfi boleh membuat tuduhan rambang sedemikian rupa?

Dakwaan Lutfi mengenai pengarah yang sama juga tidak tepat kerana pengarah-pengarah dan pemegang saham syarikat tersebut ketika permohonan diluluskan ialah:

1) Usahasewa - Fazli bin Hisahak dan Muhamad Rushdi Mohd Ramli

2) Tirai Gemilang - Mohad Khay Ibrahim dan Mohd Iszhar Ibrahim

3) Layar Kekal - Samsi Pakih dan Shaari Ismail

4)Samsys - Jariah bt. Embor dan Azman Iskandar

Syarikat berkenaan telah dikenakan bayaran premium sebanyak RM68,166,869 tetapi gagal membayar akibat kegawatan ekonomi dan kejatuhan pasaran hartanah. Syarikat-syarikat ini kemudiannya dibeli oleh U-Wood Holdings Berhad - sebuah syarikat awam berhad - yang kemudiannya bertindak sebagai pemaju serta mampu menjelaskan bayaran premium kepada kerajaan negeri.

Justeru syarikat tersebut beberapa kali mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan premium dan menyusun kembali projek tersebut agar tidak terbengkalai.

Setelah lebih empat tahun menimbangkan rayuan tersebut dan polisi kerajaan untuk melihat projek-projek terbengkalai dipulihkan dan memandangkan tanah ini telah dimasukkan ke dalam syarikat Awam Berhad di mana kepentingan pemegang saham bukan sahaja melibatkan seorang individu malah melibatkan kepentingan awam, Kerajaan Negeri telah menghantar surat bertarikh 22 Disember 2000, untuk meluluskan rayuan pembayaran premium dan pengurniaan semua keempat-empat tanah ini kepada syarikat-syarikat yang dikurniakan dan dimajukan oleh satu syarikat iaitu U-Wood Holdings Berhad.

Malahan permohonan berpindah hak milik oleh U-Wood Holdings ke atas harta dan projek syarikat-syarikat tersebut juga diluluskan sebelumnya oleh Suruhanjaya Sekuriti bertarikh 22 April 1998.

Oleh itu, memang benar tanah 400 ekar inidimajukan oleh satu pihak iaitu U-Wood Holdings tetapi ianya berlaku apabila tanah-tanah ini diambil alih oleh syarikat secara peruntukan saham untuk dimajukan agar projek ini tidak terbengkalai. Kelulusan tanah-tanah ini telah diluluskan sejak tahun 1994 (bukannya 2000 seperti dakwaan Lutfi).

Kelulusan yang diberi pada tahun 2000 ialah kelulusan untuk pertimbangan pembayaran premium yang telah mansuh dan pemberian semula tanah kepada syarikat-syarikat tersebut adalah wajar berdasarkan faktor-faktor bahawa:

1) Syarikat yang mengambil alih tanah tersebut mampu memajukan tanah tersebut.

2) Syarikat tersebut ialah syarikat awam berhad yang mana mempunyai banyak kepentingan awam.

3) Syarikat U-Wood juga adalah syarikat bumiputera yang menunjukkan rekod dan prestasi yang menggalakkan dalam hartanah.

4) Polisi kerajaan untuk menggalakkan pemulihan semula projek-projek yang berdaya maju supaya tidak terbengkalai.

Kelulusan ini adalah mengikut prosedur biasa kerajaan dalam menimbangkan rayuan-rayuan dari syarikat-syarikat yang telah dikurniakan tanah dan bukan perkara luar biasa atau baru.

Di samping itu, Lutfi juga tersilap dalam membabitkan Mohd Khir dan Exco Selangor yang hanya meluluskan rayuan oleh keempat syarikat tersebut dan pemilik baru keempat syarikat tersebut yakni U-Wood.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS