Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrir letak jawatan menteri
Diterbitkan:  Mar 27, 2009 12:27 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

Setelah tewas semalam, Datuk Shahrir Abdul Samad akan mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Rabu ini.

Beliau akan mengemukakan surat tersebut dalam mesyuarat mingguan kabinet pada hari berkenaan, lapor the Star .

Shahrir gagal mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi yang ditandinginya dalam pemilihan Umno semalam.

Seorang lagi menteri Datuk Azalina Othman Said juga tidak tersenarai dalam barisan 25 anggota majlis berpengaruh itu.

Selain mereka berdua, lima timbalan menteri dan empat menteri besar turut tewas dalam pertandingan sengit itu.

Shahrir yang juga ketua Umno bahagian Johor Bahru berkata, keputusannya untuk meletak jawatan itu adalah muktamad.

"Ini adalah prinsipnya berparti dan sekiranya tidak dapat sokongan di kalangan perwakilan untuk menjadi anggota MT, perlu sanggup berundur dari jawatan menteri," katanya.

Shahrir memberitahu pemberita bahawa adalah sukar melaksanakan tugas menteri tanpa sokongan daripada parti, lapor Bernama.

"Kita kena ada prinsip dan kena patuh. Dalam politik terutamanya, kerja kita akan lebih mudah kalau kita mempunyai kekuatan moral.

"Jika kita tak ada kekuatan dan sokongan parti, kita tak boleh berdepan dengan pentadbiran, rakyat dan pembangkang dalam melaksanakan tugas kita.

"Umpamanya saya (sebagai) menteri kena hadir di Parlimen. Bagaimana saya nak menjawab soalan dengan begitu yakin kalau saya tak dapat sokongan dari parti.

"Itu jadi masalah bagi saya. (Orang akan mengatakan) YB ini, parti pun tak terima, kalah dalam pemilihan parti, macam mana boleh jadi menteri," katanya.

PM: Itu pilihah Shahrir

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan Shahrir yang mahu meletakkan jawatan dalam kabinet adalah atas pilihan sendiri dan bukannya terdapat paksaan mana-mana pihak.

"Itu pilihan dia, tak ada siapa yang memaksa dia (untuk) letak jawatan," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata Shahrir sudah tentu mempunyai sebab untuk membuat keputusan sedemikian.

"Itu adalah keputusan dia dan dia dah beri sebab-sebab mengapa dia hendak letak jawatan dalam Kabinet," katanya ketika ditemui pemberita di perhimpunan agung Umno 2008 hari ini.

Shahrir berkata beliau akan mengundurkan diri pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.

Perdana Menteri berkata Shahrir perlu mengemukakan secara rasmi peletakan jawatannya itu.

"Dia (Shahrir) masih lagi (menteri) tapi bila dia hendak letak jawatan dia kena beritahu secara rasmi," katanya.

Baca berita penuh

ADS