BERITA

PAS cari pengganti Harakah

Ali Bukhari Amir

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mac 2009, 5:02 pagi

kemaskini 3.58pm Tidak mudah patah semangat dan menyerah kalah selepas permit Harakah digantung tiga bulan, kumpulan wartawan organ PAS itu kini berusaha menerbitkan akhbar Hujah bagi mengisi kekosongan tersebut.

"Cetakan terbaru itu memuatkan 48 halaman dan beberapa isinya kita akan ubah sedikit (daripada Harakah ) mengikut kesesuaian," kata ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, ada ruangan-ruangan tertentu dikekalkan dengan sedikit perubahan tajuk dan sebagainya.

"Mesyuarat semalam memutuskan yang kita akan tetap meneruskan perjuangan dan kita akan beroperasi seperti biasa.

djz convention 101205 ahmad lutfi "Jumaat depan, Hujah akan berada di pasaran," tambahnya.

Ditanya sikap orang ramai terhadap penggantungan Harakah secara mengejut awal minggu ini, Ahmad Lutfi berkata, ada "desakan luar biasa" daripada orang ramai, khususnya peminat setia akhbar itu.

"Memang ada desakan pembaca yang meminta agar (PAS) adakan demonstrasi," katanya.

Bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, tambahnya lagi, kebebasan akhbar semakin merosot.

"Di bawah pemerintahan Dr Mahathir (Mohamad), memang ada sekatan (terhadap Harakah ).

"Tapi, tak pernah digantung. Di bawah Najib, belum (berkuasa) apa-apa lagi, sudah ada masalah permit yang lebih dahsyat.

"Pada zaman Mahathir, saya pernah menang perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung penerbitan (tabloid) Haraki ," kata Ahmad Lutfi.

Sejak Harakah dibenarkan beroperasi pada 1987, inilah kali pertama akhbar itu dikenakan tindakan penggantungan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

suara keadilan and harakah digantung Selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas, kementerian itu mengizinkan PAS menerbitkan kembali akhbar itu sebanyak dua kali seminggu selepas dilarang sejak 2000.

Menyentuh isu gaji wartawan dan kakitangan Harakah , beliau berkata, ia dibayar seperti biasa.

"Mungkin akan ada perubahan dari segi (jumlah) elaun," katanya.

Pada 23 Mac, KDN menggantung permit dua akhbar pembangkang berpengaruh termasuk Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan tersebut menghalang keberkesanan kempen PAS dan PKR bagi menghadapi tiga pilihanraya kecil kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Sehari selepas KDN mengumumkan tindakannya, PKR menegaskan ia akan mengabaikan penggantungan itu dan terus menerbitkan akhbarnya.

Ditemui Malaysiakini di pejabat Harakah, wartawannya Salmiyah Harun berkata, penggantungan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bekerja.

"Kami ada saluran seperti (laman web) Harakahdaily.net untuk meneruskan kerja kami seperti biasa," katanya.

Seorang lagi wartawan Roy Rasul menyifatkan tindakan kerajaan itu tidak membebankan mereka walaupun ahli keluarganya kerap membangkitkan isu tersebut.

"Isunya bukan lagi kebajikan kami. Tetapi, mereka yang bertanggungjawab menggantung akhbar ini perlu bertanggungjawab.

"Kami berharap (Datuk Seri) Syed Hamid Albar akan bertindak secara rasional demi memartabatkan dunia kewartawanan," katanya.

Manakala Nyza Ayob berkata, ahli keluarganya dapat menerima keputusan ini dengan tenang.

"Keluarga memberi sokongan dan saya tetap masuk bekerja seperti biasa," kata Nyza.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.