Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pantun ingatan untuk Najib
Diterbitkan:  Mar 27, 2009 7:20 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Wakil Umno Kedah menggunakan pantun empat kerat untuk merakamkan penghargaan terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melahirkan harapan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal mengambil alih kuasa.

Ismail Yaacob atau lebih dikenali sebagai Cikgu Man yang memang terkenal dengan pantun selokanya yang menceriakan suasana di perhimpunan agung mengarang lebih 50 rangkap pantun untuk menyampaikan mesej ucapan beliau, lapor Bernama.

Antara pantun yang didedikasi oleh Ismail kepada Abdullah ialah:

Lazimnya harimau mati, tinggal belang

Gajah pula mati, dia tinggal tulang,

Saya pencen, sampai la ni, tak habis bayar hutang

Pak Lah nak berhenti, selesai tuntutan Limbang.

Kepada Pak Lah, Kedah ucapkan selamat bersara

Junjungan terima kasih, beraga-raga,

Banyak lah masa berehat, bersama keluarga

Ada masa lapang, pi ke Kuala Kedah, makan laksa.

"

Untuk melahirkan harapannya terhadap Najib, Ismail berkata:

Kepada Datuk Najib, bakal perdana menteri

Dalam sebuah kapal, sorang saja jurumudi,

Jangan dok selalu dengar, penasihat kanan atau kiri

Kena banyak ambil kira, kehendak akar umbi

Kepada Datuk Najib, kita sandarkan harapan

Dalam Umno, Datuk buatlah pembaharuan,

Perkasakan Melayu, dalam bandar raya dan peka

Kembalikan keyakinan rakyat, kepada Barisan.

Ismail yang mencuit para perwakilan dengan kelucuan pantun-pantunnya juga meminta Najib memberi perhatian kepada Pulau Langkawai dan melantik lebih ramai anggota kabinet dari negeri Jelapang padi itu.

Datuk Najib, tolonglah kami negeri yang susah

Negeri tak berapa kaya, la ni kalah,

Kalau tak boleh 5, sorang dua pun cukuplah

Sebagai menteri penuh, dari negeri Kedah.

Beliau turut merayu Presiden Umno yang baru agar melonggarkan arahan kerajaan terhadap agensi-agensinya supaya membatalkan kursus-kursus di Langkawi dan Pangkor atas alasan mahu menjimatkan belanja, kerana tindakan itu mengakibatkan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan kehilangan punca pendapatan.

Secara bersahaja dalam loghat Kedah, Ismail turut menyindir sikap ahli Umno yang tidak ambil berat mengenai parti itu.

Ada setengah ahli, tak pernah ambik kisah,

Ketua bahagian bertukar pun, dia tak berubah

Orang dok tabung duit, nak pi Mekah

Dia dok simpan, kira nak menikah

Beliau juga turut menyentuh mengenai kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang disifatkannya sebagai balasan Allah terhadap sikap sesetengah pemimpin parti yang terlalu tamak, sombong dan gila kuasa serta tidak menghiraukan teguran akar umbi.

Kita kalah pilihanraya, jangan dok salah sapa-sapa,

Ini balasan Allah, kerana kita sendiri punya angkara,

Kita terlalu tamak, sombong dan gila kuasa

Teguran akar umbi, kita tak ambil kira.

Ismail turut berkata ramai ketua bahagian Umno yang kecewa kerana tidak dicalonkan pada pilihanraya umum lalu, menyebabkan mereka enggan membantu jentera parti dan penyokong mereka memangkah pembangkang sehingga menyebabkan BN kehilangan lima negeri.

Beliau menasihatkan bakal perdana menteri keenam Malaysia supaya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam pilihanraya lepas dan jika ingin meletakkan calon, pilihlah mereka yang disukai akar umbi.

Mengenai politik wang beliau berkata ia tidak sepatutnya dianggap sebagai rasuah kerana ia adalah duit makan dan minyak kereta, selain itu perlu dipertimbangkan juga gaji dan elaun yang hilang kerana terpaksa menghadiri mesyuarat Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS