dikemaskini Perubahan kepemimpinan dalam Umno kepada Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memberi kesan kepada pengundi parlimen Bukit Gantang, kata dua pengamat politik.

Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman berkata peralihan kuasa itu - dan juga pertemuan mengejut mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - semalam hanya meredakan pergolakan dalaman parti itu.

bukit gantang nomination day candidates and vips 290309 02 Beliau, yang turut meninjau perkembangan di kawasan parlimen itu hari ini, berkata masyarakat dan pengundi belum tentu mengubah tanggapan mereka sebelum ini terhadap kerajaan.

"Sengketa Dr Mahathir-Abdullah itu adalah pergolakan dalaman parti, sedangkan pilihan raya kecil membabitkan parti-parti politik yang berbeza pendirian.

"Jadi, saya tidak fikir perdamaian itu akan mempengaruhi keputusan pengundi," katanya kepada Malaysiakini .

Seorang lagi pensyarah sains politik UKM, Dr Mohammad Agus Yusoff juga mempunyai pendapat yang sama - perubahan Umno itu tidak akan memberikan kesan kepada pengundi Melayu di kerusi tersebut.

"Ia tidak memberi kesan segera kepada para pengundi Melayu dan pengundi muda. Jadi, saya tidak dapat memberikan komen berhubung hal itu.

najib mahathir pak lah umno 2009 agm final day 280309 13 "Yang penting, biarlah pilihanraya kecil itu berlangsung terlebih dahulu dan barulah kita tahu apa kesan selanjutnya," katanya, sambil menegaskan bahawa dalam politik, tiada musuh yang kekal.

Perdamaian Abdullah-Dr Mahathir itu yang disifatkan langkah positif kepada Umno, tambah Dr Mohammad Agus, membuatkan ahli-ahli parti mungkin lebih bersemangat mendepani pilihanraya itu.

"Tapi, bukankah semua itu hanya sekadar sentimen," kata beliau. "Ia bukan ukuran yang tepat (untuk menunjukkan Umno akan menang)."

Pilihanraya kecil Bukit Gantang yang bermula hari ini menyaksikan persaingan sengit calon PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan calon BN Ismail Safian yang dianggap "referendum" terhadap Najib dan menteri besar Pakatan Rakyat itu.

Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran calon bebas Kamarul Ramizu Idris (foto atas, kanan) .

Bercakap kepada media selepas penamaan calon, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menepis tanggapan bahawa pilihanraya kecil itu satu referendum terhadap BN dan Najib.

Menurut Bernama , Ong berkata pilihanraya itu satu wadah untuk

rakyat menentukan sama ada mereka inginkan seorang wakil rakyat yang dapat menawarkan perancangan dan strategi untuk menangani krisis ekonomi semasa atau memilih seorang pemimpin yang akan meneruskan kemelut politik di Perak melalui permainan politik berlebihan.

Manakala mantan ketua bahagian Umno Bukit Gantang, Datuk Mat Isa Ismail berkata pertautan kembali Abdullah-Dr Mahathir akan memberi teladan kepada bukan Melayu bahawa Umno memang sudah bersatu.

"Jika Melayu tidak bersatu, Umno rosak dan akhirnya negara akan hancur. Saya setuju bahawa perdamaian ini sekurang-kurangnya akan menyebabkan semangat ahli-ahli Umno akan bertambah kuat untuk menghadapi pilihanraya kali ini.

bukit gantang by election nomination day 290309 03 "Khasnya, saya harap pengundi atas pagar akan kembali mengundi kita. Sebenarnya, pengundi atas pagar inilah yang banyak menentukan kemenangan kita.

"Tahun lalu, memang pengundi atas pagar nak beri pengajaran kepada BN. Mereka nak test (uji) sikit saja. Rupa-rupanya kita (Umno) rebah sampai lima buah negeri sekali gus," katanya kepada Malaysiakini .

Mat Isa mendakwa, pengundi atas pagar juga tidak gembira berada bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Mereka tidak suka melihat Umno berselerak. Jadi, mereka hilang keyakinan. Kami boleh memerintah dan pengundi atas pagar memang yakin dengan kita sebab kita dah ada track record (rekod pencapaian) pemerintahan sebelum ini," katanya.

Mohamad Nizar, ketika dihubungi, juga percaya perdamaian mantan perdana menteri dengan penggantinya boleh menyelamatkan Umno, sekali gus mengembalikan semangat juang ahli-ahli parti itu.

"Tetapi, yang paling penting, kenapakah Najib tidak datang dalam penamaan calon kali ini? Beliau sebagai pengerusi BN Perak, beliau mestilah hadir juga.

"Najib sebagai orang yang terlibat dalam rampasan kuasa di Perak mestilah datang memberikan semangat kepada ahli-ahli Umno.

"Maknanya, ada sesuatu yang tidak kena di sini. Ketidakhadiran Najib di sini akan membahayakan Umno," katanya.

bukit gantang nomination day bn vip side 290309 04 Muhyiddin, yang menang kerusi timbalan presiden Umno baru-baru ini, kini menggalas tanggungjawab jentera kempen BN-Umno seperti Najib berbuat demikian dalam tradisi parti itu selama ini.

Sementara itu, mengulas pilihanraya kecil Bukit Selambau, Dr Ahmad Nidzamuddin berkata kemenangan presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu bagi penggal ke-11 tidak memberikan kesan kerana pengundi Melayu memainkan peranan penentu di kerusi DUN itu.

"Pelantikan (kembali) Samy Vellu tidak memberi apa-apa kesan ke atas pilihanraya di sana kerana di situ ramai pengundi Melayu.

"Pengundi Melayu yang akan menentukan keputusannya nanti," katanya.

Calon MIC Datuk S Ganesan menggalas cabaran BN bagi berdepan dengan muka baru PKR S Manikumar bersama 13 calon bebas - pilihanraya kecil ini merekodkan sejarah paling ramai calon bertanding.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS