Berita Malaysiakini

PAS: Imam serah mikrofon kepada Nizar, bukan rampas

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS mendakwa imam masjid Simpang, dekat Taiping, menyerahkan mikrofon kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menolak dakwaan bahawa menteri besar Pakatan Rakyat itu cuba merampas majlis solat hajat dan tahlil BN semalam.

Pengarah pilihanraya parti itu Datuk Mustafa Ali berkata, Mohamad Nizar juga merupakan calon PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April depan. Kempen bermula selepas penamaan calon semalam.

bukit gantang pas pc 300309 "Apa yang berlaku ialah Nizar tak rampas majlis BN, beliau cuma beri tazkirah mengenai ayat al-Quran yang dibacakan ketika mengimamkan solat Maghrib.

"Jika BN dakwa Nizar dan PAS guna masjid, bermakna Umno dan BN sebenarnya terlebih dulu guna masjid untuk kempen mereka," Mustafa dipetik berkata dalam sidang akhbar di Markas PAS Kampung Air Kuning pagi ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar BN Perak, Datuk Dr Mohd Zambry Abdul Kadir yang mendakwa Nizar merampas mikrofon dari imam untuk memberi ceramah, sedangkan ketika itu adalah majlis anjuran BN.

Dr Mohd Zambry berkata Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid itu dan terus mengimamkan solat Maghrib.

"Bagaimanapun, dia kemudian bertindak keterlaluan apabila cuba mengambil alih jemaah dengan meminta mikrofon daripada imam dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu Isyak," katanya, seperti laporan laman web Berita Harian .

Zambry berkata kejadian turut disaksi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Mohamad Nizar berdepan dengan calon BN Ismail Saffian dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.