Buku 50 Dalil yang menyebutkan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Mohamed Azmin Ali mempunyai hubungan sulit dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai "fitnah kejam dan jahat."
"Ia adalah fitnah yang kejam dan jahat oleh Khalid Jafri," kata Azmin apabila ditanya sama ada beliau pernah membaca perenggan 12, muka surat 29, buku tersebut.
Azmin, 35, memberikan keterangan sebagai saksi ketiga dalam perbicaraan penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (50 Dalil), Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah, 60, yang dituduh menulis berita palsu pada Mei 1998 di pejabat Media Pulau Lagenda di No. 27M, Jalan Kosas 1/3, Taman Kosas Ampang, Selangor.
Timbalan Pendakwaraya, Abdul Karim Abdul Jalil sebelum itu berpesan kepada Azmin supaya bersabar terhadap soalan-soalannya.
Azmin menjelaskan beliau tentu berasa marah terhadap kandungan buku itu yang bersifat "kejam untuk mencemarkan nama baik keluarga saya."
Beliau, yang ketika itu bertugas sebagai setiausaha sulit Anwar, turut memaklumkan buku tersebut diperolehinya apabila seorang yang dikenali sebagai 'Encik Bakar' datang ke pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri pada Jun tahun itu.
"Pada masa itu, 17 Jun 1998 semasa membaca buku ini, adakah Yang Berhormat kenal Khalid Jafri?" soal Abdul Karim lagi.
"Saya mengenali beliau sebagai tukang fitnah orang politik. (Saya) tidak kenal (Khalid) secara peribadi," kata Azmin, sambil menambah beliau membuat laporan polis berhubung kandungan buku itu dua hari kemudian.
Azmin berkata, beliau turut dimaklumkan oleh ramai perwakilan Umno bahawa buku 50 Dalil telah disebarkan secara meluas dalam perhimpunan agung Umno tiga tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sementara itu peguam bela tertuduh, Shamsul Bahrain Ibrahim memohon penangguhan dengan alasan seorang lagi peguam bela, Shashi Menon, tidak hadir kerana sakit.
"Keterangan Azmin bersifat akar umbi. Oleh itu dengan rendah hati (saya) memohon Yang Arif supaya soal balas dapat ditunda (kepada satu tarikh lain) untuk membolehkan pihak kami meninjau, meneliti, serta mengkaji jawapan serta keterangan tersebut," kata Shamsul kepada Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Mohd Saman Mohd Ramli.
'Strategi terbaru'
Abdul Karim bagaimanapun membantah hujah Shamsul kerana kes itu telah ditangguh sejak tahun lepas dan beliau percaya peguam bela berupaya menyoal balas saksi itu hari ini.
"Saya mohon saksi disoal balas sekarang juga memandangkan saksi mempunyai tanggungjawab lain, selain hadir ke mahkamah sahaja," katanya, sambil menambah penangguhan itu merupakan "strategi terbaru" bagi melambatkan proses pemeriksaan balas.
Hakim bersetuju dengan timbalan pendakwaraya itu dan berhujah seorang peguam berpengalaman seperti Shamsul tidak mempunyai sebarang masalah meneruskan soal balas tersebut.
Shamsul kemudian berkata beliau tidak mempunyai soalan hari ini dan saksi mungkin diminta hadir pada hari lain.
Dua orang pegawai perubatan Dr Zahari Noor, 39, dan Dr Dahlia Danial, 30, hadir di mahkamah tengahari tadi bagi memberikan keterangan tentang proses mengambil contoh darah untuk ujian DNA.
Dr Zahari yang ketika itu bertugas di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur diminta membuat pengecaman contoh darah Azmin, isterinya Shamsidar Taharin dan anaknya.
Seorang jurugambar daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Bukit Aman turut diminta untuk mengesahkan sembilan keping gambar sebelum ia ditandakan sebagai eksibit.
Kes tersebut ditunda pada 23 hingga 26 April depan.
Khalid dituduh di bawah Seksyen 8A (1) Akta Penerbitan dan Mesin cetak 1984 dan jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
