BERITA

PM: SMS ugut bukan dari pejabat MB

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Apr 2009, 9:55 pagi

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan SMS ugutan yang diterima ADUN BN yang memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pagi tadi, dihantar oleh pejabat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

"Mereka dapat SMS (ugutan), tetapi SMS itu tidak berpunca dari pejabat menteri besar. Jadi tidak ada kesahihan SMS yang dihantar (itu).

"Jadi, saya minta mereka ini, semua hadir ke persidangan dewan seperti biasa," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas tindakan sepuluh ADUN Barisan Nasional (BN) memulaukan DUN Terengganu hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima ugutan malam tadi - dispekulasikan berhubung usul undi tidak percaya terhadap Ahmad.

Mengulas lanjut keadaan politik di Terengganu ketika ini, Najib menjelaskan keadaan 'tekanan' di negeri itu "bukanlah sesuatu yang luar biasa" dan "boleh diuruskan".

Perdana menteri juga mengakui telah berhubung dengan Ahmad dan dimaklumkan bahawa tiada usaha menukar menteri besar di negeri itu.

Sementara itu, Najib juga diminta menjelaskan lanjut mengenai aspek semakan ISA yang dirancangnya.

Katanya, beliau tidak boleh mengumumkannya terlebih dahulu sebelum berbincang lanjut dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein yang baru dilantiknya.

Ditanya tentang dengan ugutan MIC hendak menarik diri daripada kabinet kerana tidak puas hati dengan komposisinya, Najib menyifatkan perkara itu merupakan satu "pandangan sahaja".

Beliau juga berkata akan menjelaskan lanjut konsep "Satu Malaysia" yang menurutnya tidak sama dengan konsep "Malaysian Malaysia".

"Saya akan terangkan kepada kabinet esok. Saya akan terangkan kepada pengarang-pengarang (media) nanti apa yang saya maksudkan," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.