Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Idris tidak dalangi boikot DUN

Muda Mohd Noor

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh tidak mendalangi tindakan 10 wakil rakyat Barisan Nasional memulaukan sidang DUN semalam, kata setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu.

Alias Abdullah menambah, Idris yang juga ADUN Jerteh “tidak tahu-menahu” dengan rancangan tersebut yang dibuat sebelum persidangan dewan bermula jam 9.30 pagi.

idris jusoh and terengganu "Kalau tidak ada Idris, kami pun boleh buat juga, seolah-olah kami tiada kewibawaan," kata ADUN Alor Limbat itu, menangkis tanggapan bekas menteri besar itu dalang di sebalik tindakan menggemparkan itu.

"Adakah anda ingat kami wakil rakyat cap ayam, macam menteri besar (sekarang)?"

Sepuluh ADUN itu termasuk Idris tidak hadir di dalam dewan semalam dengan alasan nyawa tiga orang daripada mereka terancam susulan mesej SMS yang mengugut mereka jika meneruskan sesuatu tindakan yang tidak dinyatakan.

Bagaimanapun dipercayai mesej itu - yang didakwa daripada seorang pegawai kanan kerajaan negeri - sebagai reaksi terhadap ura-ura untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap menteri besar di sidang DUN semalam.

Hadir sidang DUN

Alias menjelaskan, Idris tidak dapat dihubungi untuk dimaklumkan tentang tindakan mereka itu.

"Masa kita pulau, Idris tidak tahu tetapi selepas diberitahu (tentang tindakan itu), dia kata ‘ikut pandai kamu’," katanya.

Tambah Alias, ketua bahagian itu pada sebelah pagi dalam perjalanan dari rumahnya di Besut, kira-kira dua jam berkereta ke Wisma Darul Iman yang menempatkan dewan tersebut.

Idris hadir di sidang DUN pada sesi petang.

Sementara bekas setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid pula berkata, kumpulan 10 ADUN itu memang menolak kepemimpinan Ahmad sebagai menteri besar.

Beliau, juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN negeri berkata, pemimpin tertinggi Umno perlu bertindak menggantikan ADUN Kijal dengan segera.

'Kita ada maruah'

ahmad said and terengganu "Inilah pendirian 10 ADUN BN. Kita minta beliau (Ahmad) berundur," katanya.

Rosol, yang menerima mesej SMS ugutan tersebut, juga menafikan cakap-cakap bahawa mereka merancang membentuk kerajaan campuran dengan PAS.

Daripada 32 kerusi DUN, pembangkang menguasai lapan kerusi.

Tambahnya, kalau ada dakwaan sedemikian, "ia tidak benar".

Mengulas lanjut perkata tersebut, Alias berkata, “kita ada maruah, kita sama sekali tidak akan tubuh kerajaan campuran dengan PAS.”

"Kita tidak percaya kepada PAS, macam mana hendak tubuh kerajaan campuran?" tambahnya.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, yang mendakwa menyokong 10 ADUN tersebut, memberitahu Malaysiakini hari ini, kemungkinan wakil kumpulan berkenaan berunding dengan PAS.

"Tetapi ini masih ura-ura, kita hendak bincang sesama kita terlebih dahulu sebelum berbincang dengan PAS," katanya.