Malaysiakini BERITA

Rais: Tiada arahan larang RTM siar kemelut T'ganu

Muda Mohd Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata RTM - stesen TV milik kerajaan - tidak diarah supaya jangan menyiarkan berita mengenai kemelut politik di Terengganu, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini semalam.

Sebaliknya, kata Rais, beliau menyerahkan kepada stesen penyiaran tersebut untuk menyiarkan sebarang berita.

Beliau bagaimanapun mempertahan hak RTM untuk menyiar apa-apa berita yang dikehendakinya.

rais yatim interview 160409 02 Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan kementerian berkenaan pagi ini, Rais bekata, RTM juga "sama dengan stesen-stesen TV yang lain".

Oleh itu, katanya, kerajaan juga mempunyai hak untuk menyiarkan sebarang berita yang mahu ditonjolkan.

"Tidak ada main gelap atau main putih," katanya sambil menambah, beliau menyerahkan kepada RTM memilih berita-berita yang mahu diutamakan.

“Kerajaan berhak menyiarkan sebarang berita dan penapisan berita ada di seluruh dunia.

Wall Street Journal , Herald Tribune dan New Week, mereka guna penapisan untuk menyiarkan berita. .

“RTM adalah stesen penyiaran yang seimbang,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa RTM tidak menyiarkan sebarang berita mengenai tindakan 10 ADUN BN Terengganu memulau sidang DUN negeri itu selepas tiga daripada mereka menerima SMS ugutan bunuh.

Walaupun isu menjadi tajuk berita utama di stesen swasta yang lain, tetapi ia tidak disentuh langsung oleh RTM sewaktu berita TV1 Tamil (7.30 malam), Mandarin (8 malam), berita tempatan (8.30 malam) and berita utama Melayu (9 malam) malam tadi.

Malah, reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu tersebut, juga tidak disiarkan dalam berita TV1.

Menurut sumber, meja berita bahagian berkenaan di TV1 telah arahan lisan supaya tidak melaporkan isu tersebut.

Ambil tindakan

Rais juga mengulangi bahawa kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap lamanweb dan penulis blog yang memutarkan belit fakta dan menyiarkan pembohongan.

“Saya mahu undang-undang negara dihormati, mereka akan diambil tindakan melalui akta komunikasi 1998.

“Mereka yang memutar belitkan fakta harus bertanggungjawab. Siasatan mengenai perkara itu akan dibuat oleh kementerian ini.

“Orang ramai juga boleh membuat laporan kepada kementerian mengenai kandungan lamanweb jika merasakan mereka terdera dengan laporan berkenaan.

“Mereka boleh mengkritik, tetapi jika memutar belikan fakta akan diambil tindakan,” katanya.

Rais berkata, tindakan ini adalah untuk mengekalkan kestabilan negara.

Bagaimanapun, Rais berkata, pihaknya tiada upaya untuk mengambil tindakan terhadap blogger yang beroperasi di luar negara.

Tetapi, katanya jika ia di lakukan oleh rakyat negara ini, terserahlah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.