Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah batal penggantungan Zambry dan exco
Diterbitkan:  Apr 16, 2009 12:15 PM
Dikemaskini: Apr 17, 2009 4:30 AM

dikemaskini Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan penggantungan terhadap Menteri Besar BN Perak, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam ahli exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Zambry dan enam exconya itu, sebelum ini memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Speaker DUN Perak, V Sivakumar yang menggantung mereka selepas BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak Februari lalu tanpa pembubaran DUN.

Zambry digantung selama 18 bulan manakala enam exconya digantung selama setahun.

Mahkamah memutuskan hari ini bahawa tindakan Speaker itu adalah terbatal tidak sah kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Oleh itu, katanya, Zambry dan enam exco terbabit boleh menghadiri sidang DUN yang akan datang.

Oleh itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif yang mengetuai panal lima hakim itu berkata, keputusan tersebut dibuat sebulan suara.

Mahkamah ada kuasa

Hakim Alauddin juga berkata di bawah Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak, mahkamah mempunyai kuasa menyelesaikan saman pemula difailkan oleh Zambry dan enam anggota exco di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2 Mac dengan tidak ada arahan mengenai kos, lapor Bernama.

Alauddin, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, telah menangguhkan pendengaran selama 45 minit sebelum mencapai keputusan itu.

Zambry dan enam yang berkenaan - Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon - membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan di bawah Artikel 44 Perlembagaan Negeri Perak bagi memohon perisytiharan bahawa penggantungan ke atas mereka itu oleh Sivakumar adalah tidak sah dan batal.

Mereka pada mulanya memfail saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh, memohon perisytiharan bahawa penggantungan mereka adalah tidak sah dan batal.

Di luar mahkamah, peguam utama Zambry, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata keputusan hari ini adalah keputusan bersejarah dan menjadi sejarah bagi Undang-undang Malaysia.

Firoz Hussein juga berkata dengan keputusan itu, dua saman terhadap Sivakumar di Mahkamah Tinggi Ipoh mengenai Perlembagaan negeri Perak juga selesai.

Anggota bebas

Saman itu ialah terhadap Sivakumar oleh tiga anggota dewan undangan negeri Perak yang keluar dari parti masing-masing untuk menjadi anggota bebas.

Sementara itu, seorang lagi peguam Zambry, Datuk Hafarizam Harun berkata berikutan keputusan mahkamah itu, Zambry dan enam anggota exco itu akan menghadiri sidang dewan negeri dijadualkan pada 9 dan 10 Mei depan.

Peguam Sivakumar, Sulaiman Abdullah bila ditanya mengenai keputusan itu berkata speaker tidak bertujuan melanggar undang-undang dan perintah penggantungannya terhadap Zambry dan enam anggota exco itu adalah betul.

Bila ditanya mengenai apa akan terjadi dalam sidang dewan akan datang, Sulaiman berkata: "Kita tunggu dan lihat apa akan berlaku kerana Speaker masih ada si persidangan itu nanti".

Beliau berkata dalam kes ini tidak ada orang yang kalah atau menang oleh kerana semasa persidangan dewan, speaker masih mempunyai kuasa di dewan untuk mengendali prosiding.

Sulaiman menambah beliau akan menunggu arahan daripada Sivakumar sama ada akan memfail permohonan semakan terhadap keputusan itu.

.

ADS