Malaysiakini BERITA

PM elak ulas 'Bangkitlah Melayu'

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

dikemaskini Perdana Menteri mengelak mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin yang menyeru orang Melayu "bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan".

Datuk Seri Najib Razak berkata, sama ada berita utama itu bertentangan dengan konsep "Satu Malaysia" yang dipromosi olehnya, ia terserah kepada penilaian seseorang.

"Itu terpulang kepada tafsiran masing-masing. Tetapi bagi saya... Saya bukan bercakap daripada segi (laporan) Utusan , ya?

"Secara umumnya, saya tidak mahu sikap yang keterlaluan dalam negara kita.

utusan bangkitlahh melayu front page 150409 "Tidak kiralah (sikap) keterlaluan itu daripada mana-mana pihak (pun). Kita mesti bersikap sederhana. Islam merupakan agama yang menggalakkan pemikiran dan amalan sederhana.

"Kita tidak boleh bersifat perkauman. Kita tidak boleh berfikir secara keterlaluan," katanya selepas merasmikan perhimpunan tahunan dewan perniagaan Cina terbesar ACCCIN di Klang, Selangor.

Dengan tajuk 'Bangkitlah Melayu', akhbar itu memetik beberapa sumber dengan seruan:

"Mereka juga perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu.

"Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka."

Tindakan akhbar Umno menyiarkan laporan itu mengundang kritikan tokoh DAP Lim Kit Siang semalam.

Ahli parlimen Ipoh Timur menyifatkan tindakan akhbar itu menyebabkan terbinanya "penjara kaum" dalam BN sendiri dan memusnahkan kewibawaan gagasan Satu Malaysia.

Sementara itu, menyentuh pilihanraya kecil DUN Penanti yang bakal diadakan, perdana menteri menyifatkan tindakan PKR mengosongkan kerusi itu sebagai "keputusan politik" dan tidak kena pada masanya.

"Banyak tenaga, masa dan wang ringgit (dibuang) untuk pilihanraya kecil yang tidak perlu sebenarnya. Melainkan kalau seorang (wakil rakyat) itu meninggal dunia, maka beliau perlu diganti.

"Tetapi perletakan jawatan ini keputusan politik dan boleh juga disifatkan sebagai mainan politik untuk tujuan-tujuan tertentu. Rakyat tidak suka suatu pilihanraya kecil yang sengaja diadakan," katanya.

Najib bagaimanapun enggan mengulas peluang BN merampas kerusi itu kerana menurutnya: "Ini bukan soal peluang, tetapi tentang prinsip".

Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin semalam menyerahkan surat rasmi meletak jawatan ADUN kawasan itu berkuatkuasa serta-merta.

Mengulas krisis perlembagaan di Perak ekoran keputusan mahkamah semalam yang tidak menyebelahi pembangkang, Najib berkata beliau "tidak nampak ada krisis".

Tambahnya, masyarakat negara ini berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang.

"Kedaulatan undang-undang mestilah menjadi prinsip tonggak yang perlu kita hormati. Jangan kita (hanya) hormati bila keputusan itu memihak kepada kita. Dan bila tidak memihak kepada kita, kita buat (perkara) lain pula," katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan penggantungan terhadap Menteri Besar BN Perak, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exconya daripada menghadiri sidang DUN.

Selain itu, Najib turut menjelaskan, kerajaan akan mencadangkan penyelesaian masalah kenaikan tol – yang dibangkitkan ACCCIN kepadanya – secara tuntas.

Katanya, kerajaan mempunyai banyak pilihan, selain mengambil alih konsesi tol utama Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).