BERITA

PKR minta Lim henti cakap tentang Fairus di media

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Apr 2009, 10:56 pagi

PKR hari ini meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya tidak melanjutkan lagi perbincangan melalui media mengenai tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Penanti, di Pulau Pinang.

syed husin ali interview 160307 serious "Ia hanya menguntungkan pihak lawan Pakatan. Hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng telah sempat berbual dan saya percaya semua kekeliruan telah mereka selesaikan," katanya Timbalan Presiden PKR, Syed Ali Husin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, beliau meminta semua parti, pemimpin dan ahli dalam Pakatan supaya bersatu untuk memastikan kemenangan besar dalam pilihanraya kecil Penanti jika diadakan.

Khamis lalu, Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dilaporkan berkata tindakan beliau itu adalah untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Dalam kenyataan tersebut, Syed Husin berkata keputusan untuk meletakkan jawatan ADUN Penanti dibuat oleh Fairus sendiri.

Katanya, Fairus membuat keputusan ini pada awal pagi 16 April berikutan perbincangannya dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu selepas tamat mesyuarat biro politik sebelum tengah malam 15 Mac lalu.

"Speaker DUN Pulau Pinang telahpun menyerahkan surat Fairus kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

'Bimbang kalah'

"Kami berharap SPR akan bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan tidak terpengaruh oleh sikap sesetengah pihak berkuasa yang seolah-olah cuba hendak mengelak pilihanraya kecil itu diadakan," tambah Syed Husin.

Katanya, Umno berhak untuk tidak meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil Penanti yang sepatutnya diadakan tidak lama lagi.

"Mungkin Perdana Menteri dan Umno bimbang kalah dan lebih bimbang lagi jikalau kalah dengan perbezaan undi lebih besar.

"Kami mengalu-alukan sekiranya Umno memutuskan tidak akan bertanding. Pucuk pimpinannya boleh memberikan sebarang alasan yang disukainya untuk tidak menyertai pilihanraya kecil ini.

"Tetapi, kenapa soal pembaziran baru sekarang ditimbulkan, pada hal kerajaan Umno-BN tidak habis-habis membazirkan wang rakyat?

"Mengapa soal main politik ditimbulkan sekarang pada hal pemimpin-pemimpin Umno-BN tidak sudah-sudah bermain politik melalui media yang mereka kuasai?" katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.