Hampir 500 pelajar universiti tempatan mengutuk keras tindakan tentera Amerika Syarikat dan Britain yang mengebom Iraq Jumaat lalu dengan membakar bendera dua negara tersebut di Masjid Negara hari ini.
Perhimpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) itu yang diadakan selepas sembahyang Jumaat tengahari tadi turut melancarkan kempen memboikot barangan serta perkhidmatan negara-negara tersebut.
Kempen anjuran Rangkaian Bertindak Islam Antarabangsa (Iman), Kedah itu menggesa masyarakat Islam negara ini "bersatu dan bangkit bertindak ke atas Israel dan Amerika yang zalim."
"Kira-kira 20 orang polis menghalang kami yang hendak berarak ke Dataran Merdeka," kata Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Abdullah Abdul Karim kepada malaysiakini .
Bagaimanapun tiada tangkapan dilaporkan dan perhimpunan kira-kira setengah jam itu bersurai secara aman.
Sebelum itu sekumpulan aktivis Gamis, yang dipimpin oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Muhammad Faisal Abdul Rahman, menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
Dalam nota bantahan itu, Gamis menyifatkan serangan itu sebagai usaha mencabuli maruah dan hak orang Islam di seluruh dunia.
"Malah negara-negara Russia, China dan wakil-wakil Nato (Pertubuhan Ikatan Atlantik Utara) turut berasa malu serangan Amerika dan Britain itu," kata Muhammad Faisal lagi dalam nota itu, satu salinannya diperolehi malaysiakini . "Rakyat Iraq ramai yang mati dan tidak dapat menghadapi tekanan ini (termasuk sekatan ekonomi sejak 1991)."
Sementara itu Dewan Pemuda PAS turut menghantar memorandum bantahan ke kedutaan yang sama selepas sembahyang Jumaat tengahari tadi.
Sambil menyifatkan serangan itu sebagai "tindakan barbarian ," Pemuda PAS juga mendesak Amerika Syarikat membayar ganti rugi yang dialami oleh kerajaan dan rakyat Iraq.
"Pemuda PAS masih tidak memahami sikap munafik yang menjadi orientasi Amerika Syarikat dalam politik antarabangsa sehingga sanggup melakukan keganasan ketika menuntut negara lain mematuhi piawaian hak asasi antarabangsa," kata Naib Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam surat bantahan itu.
Kira-kira 70 penyokong parti itu mengiringi penyerahan nota tersebut.
Awal minggu ini, memorandum bantahan berhubung isu yang sama telah diserahkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Serangan jet pejuang dua negara Barat itu ke atas Baghdad pada 16 Februari lalu mengorbankan dua nyawa dan mencederakan lebih 20 orang awam.
